KOTA TINGGI, 21 Dis (Bernama) -- Kira-kira 5,000 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara sedia digerakkan bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac depan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM Kolonel (PA) Effendy Ali berkata operasi akan turut dibantu pasukan bantuan pertahanan awam (CDA) dengan jumlah keanggotaan mencecah 5,000 orang setakat ini.
"CDA ini anggota penyelamat awal dan sekiranya kawasan mereka tidak terjejas, maka mereka yang terlatih akan dikerahkan untuk membantu di tempat lain yang memerlukan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI di Felda Air Tawar 1, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesiapsiagaan anggota APM bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
Effendy berkata aset APM juga sedia digerakkan pada bila-bila masa dengan orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dinasihati supaya berwaspada dan membuat persediaan awal termasuk memastikan keselamatan diri serta keluarga dan melindungi dokumen penting.
Mengenai program hari ini, Effendy berkata sebanyak 10 projek atau program dirancang dan telah dilaksanakan di Felda Air Tawar 1, termasuk melatih penduduk sebagai CDA selain melaksanakan penyelenggaraan dan penstabilan tebing klinik desa.
“Turut dilaksanakan, pelebaran jalan alternatif keluar masuk Felda Air Tawar 1, infrastruktur baharu di kawasan kubur lama, (menyelenggara) fasiliti awam seperti tandas dan pili bomba serta hentian bas dan teksi,” katanya.
Beliau berkata APM turut mengadakan Latihan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) kepada komuniti sebagai pendedahan bagi menangani sebarang kes kecemasan dan bencana, selain menebang 20 pokok berisiko serta membersihkan 25 buah kawasan rumah golongan rentan.
-- BERNAMA
