MACHANG, 21 Dis (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperuntukkan sejumlah RM121,000 bagi pelaksanaan Program Gerak Kerja Pascabencana (Banjir) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kelantan pada tahun ini.
Pengarah JPNIN Kelantan Zarina Zakaria berkata pengagihan peruntukan itu melibatkan 10 Skuad Uniti bagi setiap daerah di negeri ini, yang akan menerima 1,320 unit kotak Rahmah RTCares, peralatan pembersihan serta barangan dapur.
"Program itu bertujuan membantu penduduk di KRT yang terjejas akibat banjir dan meringankan beban hidup serta memberikan keceriaan kepada penerima.
"Selain itu, ia juga dapat menyuntik semangat buat penerima untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Zarina berkata program berkenaan juga dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada komuniti untuk bersama prihatin terhadap bebanan ditanggung oleh mangsa banjir.
Sementara itu, Ketua Skuad Uniti Daerah Gua Musang Nik Akmal Hisham Nik Mohd Yusoff menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana menyalurkan peruntukan dengan mengagihkan barangan keperluan harian dan peralatan pembersihan kepada penduduk di KRT yang terjejas akibat banjir.
-- BERNAMA
