AM

REFORMASI PERKHIDMATAN PARLIMEN JADI REALITI, DUA RUU BERSEJARAH PERKASA TRANSFORMASI

20/12/2025 11:33 AM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman dan Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Usaha reformasi institusi yang digerakkan Kerajaan MADANI mencapai satu lagi pencapaian bersejarah tahun ini apabila Perkhidmatan Parlimen dikembalikan sebagai sebuah entiti yang bebas dan berautonomi, sekali gus menandakan era baharu dalam pengukuhan demokrasi berparlimen negara.

Landskap perundangan negara terus menyaksikan evolusi dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 pada sidang Dewan Rakyat Mac lepas, yang membuka lembaran baharu ke arah memperkasakan Parlimen Malaysia sebagai badan legislatif utama negara.

Seiring dengan aspirasi reformasi institusi yang dihasratkan Kerajaan MADANI, Perkhidmatan Parlimen akhirnya mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus bagi membolehkan Parlimen berfungsi sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.

Selepas 33 tahun, Akta Perkhidmatan Parlimen yang diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992, akhirnya dikembalikan dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menerusi undang-undang itu, antara lain membolehkan Perkhidmatan Parlimen beroperasi secara berasingan daripada perkhidmatan awam, sekali gus memastikan kebebasan dalam pentadbiran dan pengurusannya.

Selain itu, ia turut memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab merancang serta memantau pengurusan dan pentadbiran Parlimen Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bukan sekadar bentuk pindaan teknikal tetapi mencerminkan kematangan sistem demokrasi negara.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 turut menyokong hasrat itu dengan meminda beberapa peruntukan termasuk Perkara 56 dan 57, di samping memasukkan Fasal baharu 5A.

Fasal itu menyatakan bahawa seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak hilang kelayakan memegang jawatan itu kerana menganggotai MPP, yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan.

Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, pindaan tersebut adalah sebagai langkah pertama untuk memberikan autonomi kewangan dan pentadbiran kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menjadi tunjang kepada Parlimen.

Azalina turut menegaskan bahawa pindaan yang dibuat bukan untuk eksekutif atau memberikan lebih kuasa kepada kerajaan, sebaliknya bagi memberikan kebebasan sebenar kepada Parlimen. 

Perubahan undang-undang dan pengukuhan institusi sepanjang tahun ini ternyata mencerminkan tekad negara untuk membangunkan institusi Parlimen Malaysia yang lebih bebas, cekap dan berwibawa.

Seiring dengan reformasi institusi juga, Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat menyatakan empat RUU, iaitu Ombudsman, kebebasan maklumat (FOI), pendanaan politik serta pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, kini sedang dalam proses libat urus dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Selain itu, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga akan dibentangkan termasuk merangkumi perlindungan dan insentif kepada pemberi maklumat.

Dalam usaha memperkasakan peranan legislatif, Parlimen turut memperkenalkan sesi penerangan oleh pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membincangkan isu-isu semasa yang merentasi infrastruktur, pengangkutan, komunikasi, alam sekitar, sains, perladangan serta pembangunan wanita dan kanak-kanak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam pemasyhurannya menyifatkan sesi berkenaan sebagai langkah reformasi Parlimen untuk memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan memperkasakan peranan jawatankuasa itu.

Dengan reformasi yang terus berkembang, 2025 terpahat sebagai tahun yang mengembalikan maruah institusi Parlimen, menguatkan asas demokrasi dan membina harapan baharu terhadap masa depan sistem legislatif negara.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan