Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa dasar makroekonomi dan kewangan negara yang berhemat memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan, kata ahli ekonomi.
Ahli ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata prestasi ekonomi negara terus mencerminkan asas pendasar kukuh, didorong oleh langkah-langkah dasar yang wajar.
Beliau berkata penilaian IMF menekankan bahawa prestasi ekonomi yang kukuh telah membantu mengekalkan kestabilan, yang dapat menyediakan penampan kukuh terhadap kejutan luaran.
“Bagaimanapun, meskipun prospek jangka pendek kekal positif, risiko penurunan masih berterusan, terutamanya daripada faktor luaran seperti permintaan global yang lebih lemah, terutamanya daripada rakan perdagangan utama, gangguan perdagangan akibat peristiwa geopolitik dan turun naik pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.
Pada Jumaat, IMF mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa Malaysia mempamerkan daya tahan ekonomi yang kental tahun ini meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global, disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik, peningkatan pekerjaan dan kitaran kukuh sektor teknologi global.
Menurut IMF, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2025 telah membantu mengurangkan ketidakpastian terhadap perniagaan dan pengguna di Malaysia.
Selain itu, daya tahan ekonomi Malaysia juga dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh
Pada masa depan, Ahmed Razman berpandangan disiplin fiskal berterusan yang menyasarkan belanjawan defisit yang lebih rendah, dasar monetari berasaskan data dan pembaharuan struktur mengenai upah dan ketidakpadanan pekerjaan akan menjadi elemen penting untuk membina semula penampan ekonomi.
"Penting untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif di tengah-tengah persekitaran global yang tidak menentu," katanya.
Sementara itu, ahli ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng percaya penilaian positif oleh IMF itu membuktikan daya tahan Malaysia, terutamanya dalam keupayaannya menongkah arus trend kelembapan dan melindungi negara daripada rintangan global.
Ini, katanya, diterjemahkan dengan baik apabila ekonomi berkembang melebihi jangkaan, mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.
"Penurunan kadar faedah selain pendekatan beransur-ansur dalam penyatuan fiskal dan rasionalisasi subsidi telah menjadi pandangan jauh dalam mengharungi landskap global yang bergolak di samping terus mengekalkan keyakinan pengguna dan pelabur dengan langkah-langkah yang disasarkan.
“Penilaian positif IMF dijangka mengukuhkan lagi keyakinan," katanya
-- BERNAMA
