AM

TEKUN NASIONAL TERUS KOMITED PERKASA PMKS, PACU PERTUMBUHAN EKONOMI RAKYAT

19/12/2025 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) akan terus komited dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan memacu pertumbuhan ekonomi rakyat seiring dengan kepimpinan Steven Sim sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baharu.

Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abd Hamid berkata kepimpinan Sim, diyakini akan terus memperkasakan PMKS demi pertumbuhan ekonomi rakyat yang lebih inklusif dan mampan.

Beliau berkata kepimpinan Sim yang disokong oleh strategi baharu dan penambahbaikan dasar pembiayaan, akan menjadikan PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara serta memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat yang lebih seimbang, berdaya tahan dan inklusif.

“TEKUN Nasional menyambut baik pelantikan Steven Sim sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui agenda pemerkasaan PMKS.

“TEKUN Nasional juga menyokong sepenuhnya dasar pemerkasaan PMKS yang merentas semua kaum dan semua wilayah di Malaysia, selaras dengan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial yang menjadi teras pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abdullah Sani berkata institusi pembiayaan itu akan terus komited dalam membantu usahawan mikro dengan menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.

Beliau berkata sejak penubuhannya pada 1998 sehingga November 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan 866,476 pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11.15 bilion, meliputi pelbagai sektor perniagaan di seluruh negara.

Seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir, moratorium pembiayaan sehingga enam bulan tanpa faedah akan diberikan kepada usahawan TEKUN yang terjejas di seluruh negara.

“Moratorium ini merangkumi pembiayaan di bawah TEKUN Nasional, sebagai langkah segera meringankan beban kewangan usahawan dan membolehkan mereka bangkit semula,” katanya.

Pada masa sama, Abdullah Sani berkata sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan, peruntukan Dana Pembiayaan Bumiputera di bawah TEKUN Nasional juga akan ditingkatkan daripada RM300 juta pada 2025 kepada RM500 juta pada 2026.

Selain itu, beliau berkata pembiayaan usahawan India melalui melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), diperkukuh dengan peningkatan peruntukan daripada RM30 juta pada 2025 kepada RM50 juta pada 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan