EKONOMI

SME CORP, SWANSEA UNIVERSITY MATERAI MOU, PERKUKUH KESEDIAAN PENGANTARABANGSAAN PKS

19/12/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Swansea University dari United Kingdom untuk memperkukuh kerjasama jangka panjang pembangunan keusahawanan dan meningkatkan kesediaan pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

SME Corp Malaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Nainy dan Pro-Naib Canselor Swansea University Ryan Murphy dengan majlis pertukaran MoU diadakan di universiti itu pada 16 Dis. 

MoU itu merangkumi kerjasama strategik dalam bidang termasuk program pembangunan keusahawanan, penyelidikan dan perkongsian ilmu, program mobiliti dan pendedahan menyeluruh, inisiatif akses pasaran, inovasi dan pemindahan teknologi serta kajian dasar berkaitan ekosistem PKS.

“Kerjasama ini selaras dengan usaha untuk menyokong peluasan perniagaan PKS Malaysia ke pasaran peringkat global,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Rizal berkata MoU itu mencerminkan komitmen mereka membina kerjasama yang tersusun dan strategik dalam pembangunan keusahawanan, perkongsian ilmu, program mobiliti serta inisiatif akses pasaran bagi meningkatkan daya saing dan tahap kesediaan pengantarabangsaan PKS Malaysia

SME Corp Malaysia memaklumkan kekal komited dalam menyokong pertumbuhan dan peluasan perniagaan PKS ke peringkat global melalui kerjasama strategik dan program pendedahan bersasar selaras dengan agenda nasional membangunkan perusahaan yang berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa. 

Sementara itu, SME Corp Malaysia dan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) telah menganjurkan Program Soft Landing (SLP) dengan kerjasama Swansea University dari 10 hingga 18 Dis yang melibatkan sembilan PKS Malaysia. 

Program itu bertujuan mempersiapkan pengusaha PKS Malaysia berpotensi tinggi dalam ekosistem francais bagi menembusi pasaran antarabangsa dengan United Kingdom sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

“Melalui SLP, peserta didedahkan kepada amalan perniagaan antarabangsa termasuk penglibatan dengan pembuat keputusan utama, pemahaman rantaian bekalan global serta pengoperasian di platform perdagangan antarabangsa dan ekosistem sokongan berkaitan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan