AM

MAIWP HARAP MAMPU CAPAI SASARAN KUTIPAN ZAKAT RM1.2 BILION MENJELANG 31 DIS

19/12/2025 12:33 PM

LABUAN, 19 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengutip lebih RM900 juta zakat sejak awal tahun hingga kini dan berharap mampu mencapai sasaran kutipan RM1.2 bilion menjelang 31 Dis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya berharap pembayar zakat sama ada individu mahupun entiti korporat agar menunaikan tanggungjawab mereka sebelum akhir tahun ini bagi membantu mencapai sasaran kutipan.

“MAIWP menyeru semua pembayar zakat yang layak agar menunaikan kewajipan supaya kutipan dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Media MAIWP di sini malam tadi.

Beliau berkata MAIWP meluluskan peruntukan sejumlah RM1.6 bilion bagi tahun hadapan untuk diagih menerusi 28 skim bantuan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kebajikan sosial dan pembangunan komuniti.

Antara keutamaan tahun depan, katanya ialah skim bantuan pendidikan dan keusahawanan yang bermatlamat memperkasakan asnaf serta membolehkan golongan itu mencapai kelestarian kewangan.

Dalam pada itu, Mohd Nizam turut menyeru pengamal media agar memainkan peranan proaktif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menunaikan zakat.

“Kita memerlukan bantuan media dalam menyebarkan maklumat kepada komuniti supaya kita dapat mencapai sasaran kutipan zakat tahun ini seterusnya membolehkan MAIWP menyalurkan bantuan secara berkesan kepada golongan memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan