PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Usaha meringankan kos sara hidup rakyat menjadi antara hala tuju utama kerajaan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu termasuk memastikan subsidi dan bantuan tunai bersasar serta meningkatkan gaji minimum agar rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos harian.
“Kos sara hidup memang betul kita kata ‘fenomena antarabangsa’, tapi kita cuba (uruskan) macam kita buat STR (Sumbangan Tunai Rahmah), Jualan Rahmah dengan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), RM15 bilion, sumbangan kembali kepada rakyat untuk menampung kos sara hidup.
“Ini langkah yang diambil dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jadi apa kekuatan kita ketimbang pembangkang, dia boleh bicara tetapi masa dia ada kuasa, dia tidak buat ini,” katanya pada Taklimat Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj. Taklimat berkenaan turut disertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan menumpukan kepada reformasi, usaha memperkukuh tanggungjawab fiskal melalui undang-undang baharu serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Selain itu, beliau berkata mulai tahun depan, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih berani dalam menangani perkara sensitif dan kontroversi, termasuk aspek penguatkuasaan, bahasa dan kaum bagi memastikan isu tertangguh dapat ditangani lebih tegas demi kepentingan rakyat dan negara.
“Ini bagi memastikan proses dan peraturan dipatuhi sebab itu saya bangga apabila julung kali berlaku, Peguam Negara memutuskan, kita tidak pertahankan apa-apa salah laku jenayah besar dalam negara...
“...termasuk mengkaji kemungkinan mendakwa, pesalah-pesalah dan soal kes tembak di Melaka di bawah Seksyen 302 (Kanun Keseksaan). Ia penting kita pulihkan keyakinan kepada institusi dalam negara,” kata beliau.
Beliau berkata proses penguatkuasaan lain termasuk yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukan sahaja memerlukan pelaksanaan lebih tegas dan berkesan, tetapi juga perlu dijalankan dengan menghormati proses sedia ada.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak akan tunduk dan diam dengan naratif songsang mengaitkan isu kaum dan agama sehingga menggugat keharmonian negara.
“Lihat isu kaum, bahasa dan ekonomi, kita perlu berdepan tindakan lebih tegas dan tidak boleh hanya bermain dengan sentimen perkauman atau agama sehingga akhirnya menghalang kemajuan negara,” katanya.
Mengenai isu bahasa, Anwar berkata kerajaan komited memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sama sekali tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris serta bahasa lain.
“2026 bukan lagi 1950-an dan kita hidup dalam dunia global, penguasaan pelbagai bahasa adalah satu keperluan, bahasa Inggeris penting, begitu juga bahasa Cina, Tamil atau Arab.
“Namun, komitmen untuk memperkukuh bahasa Melayu mesti kekal sebagai asas kepada identiti dan perpaduan negara,” kata Anwar.
Mengulas mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Anwar berkata perkara berkenaan sering dipolitikkan sedangkan pendiriannya konsisten sejak dahulu.
“Bagi saya, UEC bukan isu utama, ia bukan soal menolak atau menerima semata-mata, tetapi melihatnya dalam konteks lebih luas iaitu sejarah negara, sistem pendidikan nasional dan keperluan memperkukuh bahasa kebangsaan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan menyeluruh tentang hala tuju negara untuk tahun hadapan dan seterusnya, pada 5 Jan ini.
-- BERNAMA
