PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Rombakan Kabinet bertujuan menyuntik pembaharuan dengan memberi penekanan kepada pemimpin muda, di samping memastikan kestabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik terdiri daripada kepimpinan generasi kedua dan ketiga, dengan kebanyakannya berusia lingkungan 30-an dan 40-an, malah ada yang lebih muda.
Beliau berkata jika dilihat secara keseluruhan, pelantikan individu baharu kebanyakannya menumpukan kepada pemimpin muda seperti Dr Mohammed Taufiq Johari, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Datuk Mustapha Sakmud dan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang tergolong dalam generasi muda.
“Saya rasa sudah tiba masa untuk kita tonjolkan mereka. Pada awalnya saya tidak dapat lakukan perkara ini kerana mahu memastikan gabungan parti dapat diperkukuh dan disatukan. Tetapi kini, saya rasa kita sudah kuat. Jadi, biarlah mereka (pemimpin muda) diberi peluang,” katanya pada Taklimat Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj. Taklimat berkenaan turut disertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.
Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, termasuk pertukaran portfolio serta lantikan baharu, sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran selain memastikan pelaksanaan dasar kerajaan lebih berkesan.
Anwar berkata mesyuarat Kabinet pertama hari ini, selepas rombakan, mencerminkan kesediaan kerajaan untuk mengakui kelemahan serta kesedaran, di samping mengambil kira harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap penambahbaikan.
“Bagaimanapun, adakah saya benar-benar berpuas hati dengan prestasi mereka? Mereka juga boleh menilai saya. Saya sendiri ada keterbatasan. Jika diberi peluang dan kuasa sepenuhnya, saya pasti bertindak berbeza, tetapi saya berada dalam gabungan kerajaan.”
“Saya mahu pastikan kerajaan stabil. Ia sangat penting,” kata beliau.
Mengenai Kabinet baharu, Anwar berkata beliau mahu barisan menteri dan timbalan menteri memperbaiki prestasi mereka.
"Jadi untuk 2025, peringatan (untuk) Menteri (ialah) dengar dan yang munasabah (masalah) cuba selesaikan dan biarlah bagi gambaran agak sopan Menteri-Menteri ini. Dengar dengan baik dan cuba perbaiki prestasi kita. Itu yang saya nasihatkan petang tadi," kata Anwar.
Anwar berkata setelah tiga tahun mentadbir, kerajaan kini perlu bergerak lebih pantas dan melaksanakan pembaharuan dengan lebih berkesan selaras dengan jangkaan rakyat.
“Bergerak pantas, pecut, mempercepat pelaksanaan reformasi. Rakyat menjangkakan itu. Mereka kata tahun pertama kestabilan, tahun kedua mula buat pembaharuan, tahun ketiga kini, mereka mahu kita lakukan lebih banyak lagi,” kata beliau.
Mengenai ketiadaan beberapa menteri kanan dalam Kabinet baharu beliau, Anwar berkata sudah tiba masa untuk Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkhidmat dalam kapasiti lain.
Beliau berkata Mohd Na’im yang sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Dr Zaliha bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), masing-masing telah berkhidmat dengan baik.
Perdana Menteri berkata Dr Zaliha bukan sahaja mempunyai kedudukan kukuh dalam PKR malah berjaya mengurus isu-isu berkaitan portfolio beliau dengan berkesan.
Mengulas mengenai pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Anwar berkata langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan awam berfungsi untuk semua kaum, sambil menegaskan tindakan menolak seseorang kerana warna kulit atau latar belakang adalah sesuatu yang menjengkelkan serta tidak wajar.
"Apabila seorang Menteri Wilayah Persekutuan dilantik, timbul dakwaan bahawa pelantikan Menteri bukan Melayu akan menyebabkan orang Melayu terpinggir.
"Hakikatnya, penjawat awam, termasuk pengarah jabatan dan pegawai kerajaan, berfungsi sebagai satu pasukan untuk berkhidmat kepada semua kaum," katanya.
Ditanya sama ada beliau sedia mengadakan Pilihan Raya Umum tahun depan berikutan petunjuk ekonomi Malaysia yang kukuh, Anwar berkata perkara itu bukan keutamaan pada masa ini.
“Saya tidak fikirkan mengenai pilihan raya buat masa ini. Tumpuan saya sekarang adalah untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan serta menangani masalah dihadapi rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup yang tinggi.
"Itu merupakan dua fokus utama bagi tahun depan. Dan saya rasa walaupun keadaan sekarang agak baik, ia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” kata beliau.
-- BERNAMA
