KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengalu-alukan penglibatan semua pihak, termasuk koperasi dalam pembangunan ladang solar dan program solar komuniti bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Sehubungan itu, PETRA berkata koperasi yang berkeupayaan dijemput menyertai program bidaan Solar Berskala Besar (LSS) pusingan enam (LSS-6) yang akan dilaksanakan pada 2026.
“Pemilihan pembida yang berjaya adalah berdasarkan harga yang kompetitif serta pematuhan kepada syarat-syarat teknikal dan kewangan yang ditetapkan,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.
PETRA berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai rancangan kerajaan membolehkan koperasi menyertai pembangunan ladang solar berskala besar (LSS) dan program solar komuniti di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).
Di peringkat komuniti, PETRA berkata kerajaan telah menawarkan program Kegunaan Sendiri (SELCO) dan Mekanisme Pengagretan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM) yang dirangka untuk memperluas akses kepada sistem solar bumbung, termasuk di kawasan perumahan.
“Selain daripada itu, kerajaan juga akan memperkenalkan inisiatif solar bumbung baharu yang dikenali sebagai Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan atau Solar ATAP.
“Dengan pelaksanaan program ini, ia dijangka merancakkan lagi pembangunan TBB daripada sumber solar selain memberi pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan TBB,” katanya.
-- BERNAMA
