AM

JALAN BERLUBANG: SABAH CADANG GUNA BAHAN TURAPAN "COLD MIX"

17/12/2025 06:24 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah bercadang menggunakan bahan turapan campuran asfalt jenis cold mix bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan terutama melibatkan tampalan lubang jalan raya utama.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata pihaknya akan mencadangkan penggunaan bahan itu dalam semakan perjanjian konsesi dalam masa terdekat.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah juga telah dan sedang melaksanakan kajian penggunaan bahan terkini seperti fiber mixed asphalt bagi memperkuatkan lapisan turapan supaya dapat tahan lebih lama terhadap bebanan kenderaan yang semakin bertambah setiap tahun.

“Sekiranya terbukti berjaya, bahan ini akan diperluaskan penggunaannya untuk kerja menurap semula dan pembaikan jalan raya utama negeri di seluruh Sabah,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata standard dan spesifikasi kerja tampalan pada masa ini masih menggunakan bahan hot mix dengan suhu bahan menjadi antara isu berikutan kerja tampalan perlu dilaksanakan pada suhu tinggi dan tidak sesuai untuk kerja tampalan semasa musim hujan.

Dr Joachim berkata JKR Sabah melakukan ujian tampalan lubang menggunakan bahan cold mix dan mendapati bahan campuran itu sesuai digunakan semasa musim hujan.

Beliau berkata kerja-kerja tampalan lubang akan berkesan apabila kerosakan jalan terhad kepada lapisan turapan sahaja dan keadaan itu berlaku bagi jalan raya dalam kategori baik, iaitu tahap dua dalam skala kerosakan jalan manakala kategori sederhana pada tahap tiga.

“Bagi jalan raya dalam kategori teruk (tahap empat) dan amat teruk (tahap lima), tampalan lubang itu tidak berkesan disebabkan kerosakan telah melebihi lapisan turapan dengan struktur jalan telah rosak.

“Walaupun diketahui tampalan lubang jalan raya dalam kategori empat dan lima tidak akan bertahan lama, JKR Sabah tetap mengarahkan syarikat konsesi dan kontraktor penyenggaraan jalan untuk melaksanakan kerja tampalan lubang,” katanya sambil menjelaskan usaha itu bagi mengelakkan lubang menjadi lebih teruk, selain bertujuan mengurangkan risiko kemalangan.

Sementara itu, Dr Joachim berkata sebanyak RM600.69 juta diperuntukkan kepada JKR Sabah menerusi Belanjawan Sabah 2026, antara lain bagi menampung perbelanjaan program penyenggaraan jalan negeri termasuk jalan raya berturap di bawah syarikat konsesi dan jalan gravel.

Beliau berkata Jabatan Air Sabah pula diperuntukkan RM848 juta bagi melaksanakan program penyelesaian segera dan jangka pendek bertujuan meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem perkhidmatan bekalan air.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan