KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd melonjak kepada RM38.58 juta pada suku pertama berakhir 30 Nov 2025 berbanding RM5.47 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh kumpulan itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan jumlah jualan yang mantap di pasaran utama terutama di Amerika Syarikat (AS).
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan menyusut sedikit kepada RM883.57 juta pada suku pertama daripada RM885.89 juta sebelumnya dalam keadaan persekitaran mencabar dan berdaya saing.
Menurut Top Glove, perolehan jualan adalah lebih perlahan walaupun terdapat peningkatan jumlah jualan, terutama disebabkan harga jualan purata yang lebih rendah, seiring dengan penurunan kos bahan mentah serta kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
“Bagaimanapun, penggunaan loji yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan kecekapan kos dan ekonomi skala -- yang turut disokong langkah peningkatan kualiti dan pengoptimuman kos yang berterusan, inisiatif pemasaran strategik di samping usaha penjajaran semula organisasi yang membantu mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan.
“Walaupun harga bahan mentah menyusut, syarikat berkongsi sebahagian daripada penjimatan kos dengan pelanggan, yang mencerminkan kekuatan penetapan harga dan fokus jangka panjang dengan pelanggan,” katanya.
Mengenai prospek, Top Glove menjangka permintaan terhadap sarung tangan akan terus meningkat di pasaran utama, disokong oleh kitaran penambahan semula stok yang stabil dan peluang baharu.
“Bagi memenuhi peningkatan permintaan, kumpulan akan terus mengaktifkan semula lebih banyak barisan pengeluaran apabila tempoh menunggu dan kadar penggunaan meningkat dan pada masa sama mengekalkan tumpuan terhadap kecemerlangan operasi melalui inisiatif kualiti dan pengoptimuman kos.
“Lindung nilai pertukaran asing yang aktif serta pengurusan kewangan yang berhemat akan terus mengukuhkan daya tahan syarikat, memastikan kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum meningkat dan menawarkan nilai jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA
