KUALA TERENGGANU, 16 Dis (Bernama) -- Projek pembinaan jambatan gantung di Kampung Banggol Cempedak di sini, yang diluluskan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI dijangka menjadi destinasi pelancongan baharu di Terengganu.
Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata Kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.5 juta di kampung itu bagi merapatkan jurang pembangunan antara desa dan bandar melalui penyediaan infrastruktur asas dan sokongan yang menyeluruh berasaskan konsep keseluruhan kerajaan.
Beliau berkata peruntukan itu merangkumi projek jambatan gantung yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Terengganu bermula pada 23 Mac lepas dan berjaya disiapkan membabitkan kos bernilai RM890,888.
“Kami berharap pembinaan jambatan gantung di Kampung Banggol Cempedak dapat memberi manfaat kepada kawasan ini memandangkan peruntukan keseluruhan bagi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI di sini berjumlah RM2.5 juta, selain mengharapkan kerjasama komuniti setempat dengan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dalam menguruskan kemudahan yang disediakan.
“Ini selaras dengan hasrat kerajaan khususnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memastikan Kampung Angkat MADANI turut menerima pembangunan sama seperti kawasan bandar. Apa yang terdapat di bandar, kami mahu ia turut dinikmati di kampung-kampung bagi merapatkan jurang ekonomi, taraf hidup penduduk dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jambatan Gantung Kampung Angkat MADANI Kampung Banggol Cempedak di sini hari ini.
Abdul Kahar berkata kawasan itu berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu di Terengganu kerana dilengkapi tarikan semula jadi seperti sungai, calet dan kemudahan perkhemahan.
Beliau berkata dari segi spesifikasi, jambatan gantung sepanjang 70 meter itu dibina dengan reka bentuknya disifatkan hampir menyerupai Jambatan Angkat (Drawbridge) di Kuala Terengganu.
“Sekiranya pelancong tidak berkesempatan ke Kuala Terengganu, mereka boleh berkunjung ke Kampung Banggol Cempedak untuk menikmati panorama menarik di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata jambatan berkenaan mempunyai ketinggian enam meter dan pembinaannya melalui proses pengukuran serta perancangan teliti termasuk mengambil kira risiko banjir memandangkan kawasan itu terdedah kepada bencana itu pada hujung tahun.
Abdul Kahar berkata pembinaan tebing dan ketinggian jambatan gantung itu direka lebih tinggi daripada paras air banjir biasa manakala kemudahan seperti calet terapung disediakan bagi mengurangkan risiko kerosakan kemudahan di kawasan itu sekiranya berlaku banjir.
“Orang ramai dari dalam dan luar Terengganu diharap akan berkunjung ke kawasan itu apabila ia mula beroperasi kelak.
“Beberapa projek turut dilaksanakan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI, antaranya pembinaan calet, penyediaan laluan joging serta kerja-kerja pembaikan tebing sungai, yang bakal menjadikan kawasan itu sebagai antara destinasi pelancongan di Kuala Terengganu,” katanya.
-- BERNAMA
