BRUSSELS, 15 Dis (Bernama-dpa) -- Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) akan mengenakan sekatan ke atas kira-kira 40 lagi kapal yang digunakan untuk mengelakkan penalti yang dikenakan ke atas Rusia susulan perang di Ukraine, kata Ketua Hal Ehwal Luar EU Kaja Kallas, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Mengenakan sekatan ke atas lebih banyak kapal daripada apa yang dikenali sebagai armada bayangan bermakna “melemahkan Rusia daripada keupayaan untuk membiayai perang ini,” kata Kallas pada Isnin di Brussels.
Semua kapal yang baharu disenaraihitamkan itu akan dilarang memasuki pelabuhan Eropah dan tidak dibenarkan mendapatkan perlindungan insurans. Sekatan lain seperti pembekuan aset turut dirancang terhadap pihak yang menyokong operasi armada bayangan berkenaan.
Selain itu, blok berkenaan merancang untuk memulakan rundingan dengan negara yang berada di bawah bendera pendaftaran kapal-kapal itu, bagi mendapatkan persetujuan mereka untuk membenarkan pasukan tentera laut EU memeriksa kapal tangki terbabit.
Armada bayangan merupakan tindak balas Rusia terhadap had harga minyak antarabangsa yang dikenakan ke atas eksport bahan api fosil Rusia.
Moscow didakwa cuba menyembunyikan dari mana minyaknya diperoleh menggunakan pelbagai kaedah seperti mematikan atau memanipulasi transponder satelit atau memindahkan minyak antara kapal tangki di laut lepas.
--BERNAMA-dpa
