KANGAR, 15 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis telah membentangkan sebanyak enam cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perlis bagi mengukuhkan tadbir urus, pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam pengurusan kewangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Penambahbaikan tatakelola ini meliputi dua isu utama iaitu Pengurusan Penerimaan Bayaran Tunai melalui Sistem Primari Pertubuhan Peladang (SPPP) serta Pengurusan Pemberian Kredit dan Pinjaman Input Pertanian.
Cadangan penambahbaikan itu antaranya melibatkan penambahbaikan Garis Panduan Sistem Merekod Penerimaan Tunai dengan penyediaan perincian tatacara perekodan hasil atau tunai melalui Sistem Primari Pertubuhan Peladang (SPPP), selain pewujudan Borang Akuan Serah Terima Wang Tunai bagi memastikan proses pengurusan tunai dilaksanakan secara lebih telus dan teratur.
Berkaitan urusan pinjaman, LPP perlu menguatkuasakan pematuhan terhadap Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang (AP4.1.6) berhubung panduan pemberian kredit dan pinjaman.
Ini kerana semakan tatakelola SPRM Perlis terhadap PPK didapati mengamalkan pemberian pinjaman secara budi bicara tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Pembentangan itu telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perlis, Mohamad Razif Ab Rased kepada Pengarah LPP Negeri Perlis, Roshidah Ahmad yang menyambut baik cadangan penambahbaikan tatakelola yang dikemukakan oleh SPRM Perlis.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani berkata, penambahbaikan tatakelola itu memberi penekanan kepada pengurusan penerimaan bayaran tunai serta pematuhan tatacara dalam pemberian kredit serta pinjaman input pertanian bagi mengurangkan risiko ketirisan dan salah guna kuasa.
“Penambahbaikan tatakelola ini bertujuan memastikan setiap proses kewangan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sesi pembentangan yang diadakan di pejabat LPP di sini hari ini.
Selain itu, SPRM turut mengesyorkan pelaksanaan program pembudayaan integriti, pengukuhan nilai murni serta peningkatan kesedaran antirasuah secara menyeluruh di semua PPK sebagai langkah pencegahan berterusan.
Pada majlis itu turut diadakan sesi menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara LPP Negeri Perlis dan SPRM Perlis. Hadir sama Timbalan Pengarah LPP Perlis, Azlinawati Romli serta pegawai kanan LPP lain.
--BERNAMA
