KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga Khamis ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan membadai seluruh Kelantan dan Terengganu.
Amaran cuaca sama turut melibatkan beberapa kawasan di Pahang, membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin, serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi.
Jabatan itu memaklumkan hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) untuk tempoh sama.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku sehingga esok di Pahang melibatkan Raub dan Bentong serta Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah).
-- BERNAMA
