KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pemain golf profesional negara Zulaikah Nurziana Nasser percaya bakat sahaja tidak mencukupi untuk atlet Malaysia berjaya di peringkat tertinggi, sambil menekankan keperluan sistem sokongan kukuh dan berterusan bagi membantu pemain beralih kepada sukan profesional serta berjaya dalam sukan itu.
Bercakap dalam program The Nation di Bernama TV hari ini, pemain berusia 23 tahun itu berkata Malaysia memiliki banyak pemain golf berbakat, terutama dalam kalangan wanita namun banyak yang bergelut untuk berjaya selepas beralih ke peringkat profesional berikutan ketiadaan struktur sokongan dan kewangan yang mencukupi.
Beliau berkata walaupun pemain golf amatur mendapat manfaat daripada bantuan komprehensif yang disediakan oleh badan pentadbiran termasuk kos pembiayaan, pendedahan pertandingan dan sokongan logistik, pemain golf profesional terpaksa menguruskan kerjaya mereka secara berdikari.
“Kita memang ada bakat tetapi persoalannya adakah kita mempunyai sokongan?”
“Apabila anda menjadi profesional, segalanya berubah. Anda perlu mengurus sendiri kos pembiayaan, penajaan, perjalanan dan kemampanan, dan tiada garis panduan yang jelas,” katanya.
Pemain golf yang belajar dan bertanding di Amerika Syarikat dengan biasiswa penuh golf itu berkata sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengekalkan kerjaya profesionalnya, terutama pada peringkat awal.
“Jika bukan kerana ibu bapa saya, saya tidak akan berada di sini. Merekalah yang mengeluarkan wang ketika tiada sistem sokongan,” katanya.
Beliau mencadangkan penglibatan lebih besar daripada persatuan sukan, lapangan golf dan penaja dapat membantu melebarkan akses kepada sukan itu serta memastikan bakat berpotensi tidak hilang akibat kekangan kewangan.
“Jika atlet muda diberi peluang dan sokongan, Malaysia boleh melahirkan lebih banyak pemain golf bertaraf dunia,” katanya.
Zulaikah Nurziana sebelum ini memenangi Kejohanan Golf Wanita Piala Harrier Jelajah Toyota 2024 dan Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) Seri Selangor 2025 (Wanita).
-- BERNAMA
