LENGGONG, 15 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyiapkan sepenuhnya pelaksanaan 13 projek komuniti di Kampung Bukit Sapi di sini melibatkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata antara projek fizikal yang dilaksanakan termasuk menaik taraf sekolah agama, titi sungai, klinik desa, jalan ladang, masjid, surau, dewan orang ramai, pemasangan lampu jalan solar dan infrastruktur sekolah.
Beliau berkata antara projek bukan fizikal yang telah dilaksananakan pula merangkumi gotong-royong keceriaan kampung, pelaksanaan Program Pusat Komuniti Desa Mobile serta Program Motivasi Pelajar.
Mohd Khair Razman berkata bagi projek pemasangan lampu jalan solar, KKDW melaksanakan Program Rintis Lampu Solar dengan memasang 30 unit lampu solar secara bergotong-royong bersama mahasiswa dan sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melibatkan kos kira-kira RM40,000.
"Selain itu, KKDW juga melaksanakan Program Selenggara Elektrik Rumah Impian melibatkan 25 buah rumah yang diselenggara membabitkan peruntukan berjumlah RM40,000 bertujuan meningkatkan tahap keselamatan elektrik kediaman golongan B40," katanya.
Muhd Khair Razman berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Kenduri Rakyat Desa MADANI 2025 di sini hari ini.
Bagi projek infrastruktur sekolah, beliau berkata sejumlah RM100,000 diperuntukkan untuk Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI dengan tumpuan diberikan kepada penambahbaikan kemudahan asas dan peralatan pembelajaran murid sekolah berkenaan.
"Secara tidak langsung ia dapat mewujudkan keadaan pembelajaran yang kondusif dan sedikit sebanyak membantu pelajar sekolah tersebut," katanya.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif Kampung Angkat MADANI itu, Muhd Khair Razman berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan bertujuan menambah baik kemudahan asas, menyokong pembangunan pendidikan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
"Inisiatif sebegini perlu diteruskan supaya infrastruktur di kawasan kampung khususnya di luar bandar tidak jauh ketinggalan berbanding di kawasan bandar," katanya.
-- BERNAMA
