KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu memodenkan sistem grid tenaga untuk membina ekonomi rendah karbon yang kompetitif, inklusif dan berdaya tahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pendigitalan ekonomi dengan kecerdasan buatan (AI) yang boleh dipercayai serta mengubah aspirasi iklim kepada projek yang berpotensi cerah dan boleh menerima pelaburan juga merupakan langkah penting yang perlu dilaksanakan untuk Malaysia merealisasikan matlamat tersebut.
“Oleh itu, kita menyeru syarikat utiliti supaya mengemukakan projek yang dapat mengurangkan pengehadan bekalan secara terukur, mempercepat sambungan dan memperkukuh sistem untuk mengelakkan cuaca ekstrem.
“Kita menggesa kalangan pengilang dan pemilik bangunan untuk menggunakan penyelesaian kecekapan, respons permintaan dan penyimpanan yang dipacu AI serta berkongsi pengajaran supaya jumlah permintaan dapat menjadi sumber bagi sistem yang boleh dipercayai,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak AI, Digital dan Ekonomi Hijau Global 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga mengharapkan pelabur pusat data dan pengkomputeran mewujudkan operasi yang cekap dan menggunakan tenaga bersih sejak dari hari pertama, di samping bekerjasama rapat dengan syarikat utiliti unuk menguruskan kesan grid secara bertanggungjawab.
Para pembiaya dialu-alukan untuk menilai aspek integriti, daya tahan dan kecepatan impak serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memperluas penyambung antara grid dan menyelaraskan peraturan supaya tenaga bersih dapat disalurkan ke kawasan yang paling memerlukan, katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata grid masih menjadi kekangan utama, dan tanpa peluasan serta pendigitalan penghantaran dan pengagihan yang lebih pantas, pertumbuhan tenaga boleh baharu akan terbantut.
Pada masa sama, beliau berkata permintaan pengkomputeran daripada latihan dan inferens AI semakin meningkat, sekali gus membentuk semula corak bebanan dan memberi tekanan kepada prasarana tempatan.
Hanya projek yang memenuhi piawaian kecekapan dan ambang tenaga bersih yang ketat, serta turut melabur dalam pengukuhan grid apabila perlu, akan diberikan sokongan, katanya.
“Secara kesimpulannya, integriti mesti kekal sebagai asas kepada usaha kita. Kredit karbon, sijil tenaga boleh baharu dan inisiatif yang digelar ‘AI untuk kebaikan’ mestilah mampu melalui penelitian bebas serta ketelusan sepenuhnya.
“Dalam kerajaan, kita sedang menyelaraskan dasar, peraturan dan pemerolehan bagi memastikan AI menjadi pemangkin kepada daya tahan grid,” katanya.
Fadillah berkata hala tuju Malaysia adalah jelas, menumpukan kepada pembinaan grid moden, ekonomi digital yang dipacu AI yang boleh dipercayai, serta sistem pembiayaan iklim yang menghasilkan penyahkarbonan sebenar di dunia sebenar.
-- BERNAMA
