EKONOMI

MEGAH PORT, SAILION SHIPPING ANTARA PENERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN CILTM SABAH

14/12/2025 10:34 PM

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) dan syarikat sekutunya, Sailion Shipping Sdn Bhd adalah antara pemain industri logistik, pengangkutan dan maritim yang menerima Anugerah Cemerlang Institut Bertauliah Logistik dan Pengangkutan Malaysia (CILTM) Seksyen Sabah atas sumbangan mereka kepada sektor itu.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim pada Majlis Makan Malam Gala CILTM Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam tadi. 

Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong menerima anugerah itu bagi pihak pengendali pelaburan berpangkalan di Labuan itu, manakala Isaac Abdullah mewakili Sailion Shipping.

“Anugerah ini merupakan peristiwa penting bagi pengendali pelabuhan itu dan memberi kami motivasi untuk melakukan dengan lebih baik, serta meningkatkan kecekapan dan terus menyumbang kepada logistik dan ekosistem maritim,” kata Tiong. 

MPM mengutamakan kecekapan operasi, keselamatan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai untuk meningkatkan daya saing pelabuhan, menyokong pergerakan kargo bagi sektor minyak dan gas, serta barangan pengguna dan perindustrian.

Sementara itu, Sailion Shipping menyediakan penyelesaian maritim, khususnya dalam pengendalian pelayaran dan perkhidmatan perkapalan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Kedua-dua syarikat adalah sebahagian daripada Lion Logistics Group, yang beroperasi di seluruh negara. 

Anugerah Cemerlang CILTM Sabah itu mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan, kepimpinan dan sumbangan berterusan kepada  pembangunan sektor logistik, pengangkutan dan maritim di Sabah dan Labuan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan