AM

KPM REKOD PELBAGAI PENCAPAIAN REFORMASI PENDIDIKAN SEPANJANG TIGA TAHUN

14/12/2025 03:38 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan pelbagai pencapaian utama sepanjang tiga tahun pelaksanaan reformasi pendidikan, termasuk penguatkuasaan pendidikan menengah wajib, pengurangan beban tugas pendidik serta pembinaan dan pemulihan sekolah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelaksanaan reformasi pendidikan itu akan terus diperkukuh dan pada tahun hadapan, tumpuan KPM adalah mempersiapkan guru-guru bagi menghadapi pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027, yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2026 di peringkat prasekolah, diikuti pada 2027 bagi Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

“Komitmen KPM untuk terus mengurangkan beban tugas guru akan diteruskan bagi membolehkan warga pendidik memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk penguasaan pedagogi serta pelaksanaan reformasi di bilik darjah.

“Kita mahu guru-guru dapat memberi tumpuan di dalam kelas, meningkatkan kualiti PdP dan melaksanakan pembaharuan dalam pengajaran mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di sini hari ini.

Fadhlina berkata antara pencapaian paling signifikan ialah kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Parlimen yang menjadikan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima.

Dengan pindaan itu, setiap anak Malaysia kini dilindungi undang-undang untuk kekal dalam sistem pendidikan sehingga tamat sekolah menengah, sekali gus memastikan tiada keciciran selepas Darjah Enam.

Beliau berkata KPM turut berjaya melantik seramai 52,948 guru baharu dengan kadar pengisian mencecah 98 peratus, tertinggi dalam hampir sedekad, sekali gus memastikan hampir semua kelas di seluruh negara mempunyai guru yang mengajar seperti sepatutnya.

Dalam aspek keselamatan sekolah, Fadhlina berkata KPM melaksanakan 11 inisiatif Sekolah Selamat secara serentak di seluruh negara, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pelantikan 10,096 guru dan kaunselor baharu serta 600 pembantu warden asrama.

Mengulas pemulihan pascapandemik, beliau berkata takwim persekolahan negara akan kembali bermula pada Januari mulai sesi 2026, selepas empat tahun jadual persekolahan terganggu, selaras dengan keperluan ibu bapa dan guru.

Beliau berkata intervensi literasi dan numerasi turut menunjukkan hasil positif apabila seramai 398,496 murid berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), meningkat berbanding 326,051 murid sebelum intervensi dilaksanakan.

Dalam usaha mengurangkan beban guru, Fadhlina berkata KPM melaksanakan reformasi tugas termasuk pelantikan 562 pembantu guru, penempatan 600 pembantu warden di bawah inisiatif MySTEP, sokongan operasi di 281 sekolah menengah serta penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

Selain itu, beliau berkata pembinaan dan pemulihan infrastruktur pendidikan turut mencatat pencapaian tinggi apabila 44 sekolah baharu dibina dan 44 projek sekolah daif siap dilaksanakan pada 2025.

Fadhlina berkata peluasan pendidikan awal kanak-kanak turut diperkukuh apabila prasekolah KPM diperluas ke sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus meningkatkan akses pendidikan awal di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Mengulas usaha menangani keciciran pendidikan di kawasan pedalaman, beliau berkata peluasan Sekolah K9 dan K11 berjaya memastikan kadar keciciran sifar, dengan murid kekal bersekolah sehingga tamat pendidikan menengah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan