SEREMBAN, 14 Dis (Bernama) -- Sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) diseru tampil sebagai rakan kolaboratif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh usaha pencegahan rasuah di negara ini.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata usaha membanteras rasuah tidak boleh dipikul oleh SPRM semata-mata tetapi memerlukan sokongan pelbagai pihak.
“Syarikat swasta dan GLC boleh menyokong usaha pencegahan rasuah, termasuk menganjurkan program antirasuah melalui insentif potongan cukai bersama komuniti bagi memperluas ekosistem integriti negara.
"Perjuangan menolak rasuah adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat tanpa mengira umur, peranan atau latar belakang,” katanya ketika merasmikan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 anjuran SPRM Negeri Sembilan, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Rasuah Busters di sini semalam.
Sambutan HARA yang dihadiri hampir 200 peserta terdiri daripada NGO, mahasiswa, pelajar dan pengunjung bertujuan menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam menyokong agenda nasional memerangi rasuah.
Antara pengisian utama ialah ‘Pocket Talk’ Antirasuah oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Mohd Adib Othman, yang menekankan keperluan memahami risiko rasuah dari pelbagai sudut, kesalahan utama serta hukuman mengikut Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia Badlishah Sham Baharin berkata pihaknya bersedia memberi sokongan kepada SPRM sebagai usaha bersama membentuk masyarakat berintegriti tinggi.
Turut diadakan, deklamasi puisi ‘Rasuah Yang Membarah’ oleh Deklamator Kebangsaan Umar Mokhtar Abdullah, persembahan bicara berirama oleh Juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Kebangsaan 2025 iaitu pelajar Sekolah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong, Muar, selain pelbagai pameran.
-- BERNAMA
