ALOR SETAR, 14 Dis (Bernama) -- Persatuan Skuasy Kedah akan memfokuskan kepada pengukuhan pembangunan pada peringkat sekolah, khususnya di kawasan luar bandar bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan itu.
Presidennya Zainol Abidin Mohamad berkata usaha itu akan menjadi antara agenda utama selepas beliau dipilih menerajui persatuan semalam.
Beliau berkata pendedahan awal kepada sukan skuasy penting bagi memastikan lebih ramai pelajar menceburinya sejak awal dan seterusnya membentuk pembangunan sukan dari peringkat akar umbi.
“Kita mahu bawa skuasy ke sekolah terutama di luar bandar yang masih kurang pendedahan dan sokongan terhadap sukan ini.
“Setakat ini, belum ada pertandingan skuasy secara rasmi pada peringkat daerah atau negeri yang melibatkan pelajar. Jadi ini antara perkara akan diberi penekanan,” katanya.
Zainol Abidin yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah (PIBKS) Kedah berkata akan memanfaatkan hubungan baik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi merealisasikan hasrat itu.
Beliau berkata Kedah mempunyai potensi besar dalam sukan skuasy termasuk melahirkan atlet yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa seperti pemain profesional negara S. Sivasangari yang berasal dari Sungai Petani.
“Kedah juga pernah melahirkan atlet yang meraih pingat pada Sukan SEA. Ini membuktikan skuasy mampu berkembang jika dibangunkan dengan betul,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata proses penstrukturan semula persatuan akan dilakukan dengan penubuhan beberapa biro seperti Biro Kejurulatihan, Biro Kebajikan Atlet dan Biro Penjanaan Dana bagi memastikan pengurusan dan pembangunan sukan skuasy lebih tersusun.
-- BERNAMA
