DUNIA

TEMBAKAN MORTAR ISRAEL SASAR SELATAN LUBNAN, DRON TERBANG ATAS PINGGIR BANDAR SELATAN BEIRUT

13/12/2025 11:21 PM

ISTANBUL, 13 Dis (Bernama-Anadolu) – Tentera Israel melepaskan tembakan mortar pada Sabtu ke pinggir bandar Dhayra di selatan Lubnan, sementara dron Israel terbang secara intensif di atas pinggir bandar  selatan Beirut meskipun perjanjian gencatan senjata sudah dicapai, lapor Anadolu Ajansi, memetik media Lubnan.

Tembakan itu menyasarkan kawasan berhampiran Dhayra di Daerah Tyre, menurut agensi berita negara NNA.

Di daerah sama, sebuah dron Israel melepaskan bom bunyi di Bandar Naqoura, lapor agensi itu, tanpa memberikan butiran segera mengenai korban atau kerosakan.

Pencerobohan Israel meluas ke ibu kota, dengan media Lubnan melaporkan penerbangan rendah dron  di atas pinggir bandar selatan Beirut, kubu kuat Hizbullah.

Peningkatan berterusan itu menyusuli kenyataan sehari sebelumnya oleh Menteri Luar Lubnan Youssef Raggi, yang berkata Lubnan telah menerima amaran daripada pihak Arab dan antarabangsa bahawa Israel sedang bersedia untuk operasi tentera berskala besar.

Raggi berkata hubungan diplomatik telah digiatkan "untuk melindungi Lubnan dan kemudahannya daripada sebarang serangan berpotensi," menurut agensi itu.

Kerajaan Lubnan meluluskan satu pelan pada 5 Ogos, berdasarkan draf cadangan dibentangkan oleh Duta Khas Amerika Syarikat Tom Barrack, untuk meletakkan semua senjata – termasuk yang dikuasai  Hizbullah – di bawah kawalan negara dan memberi tugas kepada tentera untuk melaksanakan pelan itu sebelum akhir 2025.

Hizbollah berulang kali menolak langkah itu dan menegaskan tentera Israel mesti menarik diri sepenuhnya dari wilayah Lubnan sebelum meletakkan senjata.

Satu gencatan senjata tercapai antara Tel Aviv dan Beirut tahun lepas selepas lebih setahun serangan berlatar belakangkan perang di Semenanjung Gaza. Lebih 4,000 orang terbunuh dan 17,000 cedera.

Tentera Israel sepatutnya menarik diri dari selatan Lubnan pada Januari ini di bawah gencatan senjata, tetapi sebaliknya hanya menarik sebahagian dan terus mengekalkan kehadiran tentera di lima pos sempadan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan