SUKAN

HOE YEAN ATASI GUGUP UNTUK RAIH EMAS, PENGAKHIRAN SEMPURNA BUAT JINQ EN

13/12/2025 10:15 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean berjaya mengatasi tekanan dan rasa gugup untuk mempertahankan gelaran acara 200 meter gaya bebas lelaki, sekali gus melengkapkan kejayaan emas hatrik pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu menyentuh dinding kolam dengan catatan masa 1 minit 48.64 saat (s), menewaskan pencabar terdekatnya dari Vietnam, Tran Van Nguyen Quoc (1:48.70s) yang meraih pingat perak di Kolam Renang Sports Authority of Thailand.

Seorang lagi perenang negara, Arvin Shaun Singh Chahal memenangi gangsa dengan catatan masa 1:50.43s sekali gus meraih pingat individu pertama beliau di Sukan SEA.

Hoe Yean yang bermula di lorong keempat, mengakui ia adalah perlumbaan sengit memandangkan pesaingnya dari Vietnam yang berada di lorong kelapan menunjukkan peningkatan ketara dan membuktikan dirinya lawan yang hebat.

Bagaimanapun, bagi beliau, kunci kejayaan adalah mengatasi rasa gugup menjadi keterujaan, yang kemudian menjadi dorongan bagi setiap kuak hingga menyentuh dinding penamat.

“Mempertahankan gelaran adalah hal paling sukar dalam sukan kerana ia memberikan tekanan dan membuatkan anda berasa gugup.

“Saya berasa agak gugup hari ini dan pada masa yang sama juga teruja. Mengatasi rasa gugup menjadi keterujaan adalah motivasi saya hari ini,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Arvin Shaun, yang bersaing dalam Sukan SEA keempatnya sejak edisi 2019 berkata kejayaan penamat dalam 50 meter terakhir itu hasil daripada keyakinan dan kegigihannya.

Beliau turut menantikan temasya Sukan SEA 2027 yang akan diadakan di Malaysia dengan harapan untuk mencabar diri dan memperbaiki prestasi.

Sementara itu, perenang negara, Phee Jinq En menutup tirai penampilan terakhirnya di Sukan SEA dengan cemerlang apabila meraih pingat perak dalam acara 100m kuak dada wanita dengan catatan masa 1:10.09s.

Mengimbau pengalamannya selama 10 tahun mewakili Malaysia di Sukan SEA, Jinq En berkata pingat berkenaan akan sentiasa dihargainya.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu mengesahkan beliau akan bersara selepas temasya dwitahunan berkenan, dengan baki satu lagi acara iaitu 4x100m rampaian wanita, yang akan berlangsung Isnin ini.

Dalam pada itu, perenang Singapura, Letitia Sim memecahkan rekod Sukan SEA miliknya sendiri iaitu catatan masa 1:07.94 pada edisi 2023, dengan catatan baharu 1:06.79s untuk mengekalkan pingat emas, manakala Nguyen Thuy Hien dari Vietnam membawa pulang gangsa dengan catatan 1:10.40s.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan