AM

PETRA PERINCI NEGERI TERJEJAS BANJIR, NILAI TAHAP KEROSAKAN INFRASTRUKTUR BERKAITAN

15/12/2025 12:44 PM

PADANG BESAR, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini dalam proses memperincikan senarai negeri yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk tahap kerosakan serta keutamaan kerja pemulihan infrastruktur berkaitan yang perlu disegerakan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata negeri terjejas banjir telah diminta mengemukakan laporan lengkap melibatkan kos kerugian dan kerosakan infrastruktur itu bagi membolehkan penilaian menyeluruh dibuat sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

Beliau berkata kementerian itu akan menentukan keutamaan berdasarkan tahap kemusnahan serta keperluan mendesak pada peringkat komuniti di negeri-negeri terjejas dengan bencana itu.

“Antara fokus utama ketika ini ialah kerja-kerja kecemasan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat setempat khususnya melibatkan infrastruktur kritikal seperti jambatan dan sistem saliran,” katanya selepas merasmikan Program Cahaya Prihatin: Elektrik Untuk Komuniti di Kampung Utara, Padang Besar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cahaya Prihatin: Elektrik untuk Komuniti di Kampung Utara, Padang Besar, yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan disokong oleh PETRA melalui inisiatif Malaysia Energy Literacy Program (MELP).

“Anggaran awal kos kerosakan di Perlis adalah sekitar RM6 juta hingga RM8 juta dan perkara ini telah dibentangkan kepada saya dalam taklimat pagi tadi. Insya-Allah, kerja-kerja kecemasan yang dikenal pasti akan mula disegerakan seawal bulan depan melalui JPS Negeri Perlis,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan