TAWAU, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 dengan sasaran 269 siri penganjuran di seluruh negara bermula 20 Dis hingga 11 Jan ini.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat dengan PJRM Kembali ke Sekolah melalui pelaksanaan secara dalam dan luar premis.
“Program ini akan diadakan sepanjang cuti sekolah, dengan pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
“Terdapat 45 hingga 80 Stock Keeping Unit (SKU) ditawarkan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah bagi mengetahui tarikh dan lokasi PJRM Kembali ke Sekolah yang akan diadakan.
Dalam pada itu, Armizan berkata Kerajaan MADANI memperuntukkan RM300 juta dalam Belanjawan 2026 bagi pelaksanaan insiatif Payung RAHMAH termasuk bagi penganjuran PJRM di seluruh negara.
Justeru, beliau berkata KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuk penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah serta golongan sasar.
-- BERNAMA
