KANGAR, 13 Dis (Bernama) -- Anggaran keseluruhan kerugian akibat banjir di Perlis yang bermula penghujung November dianggarkan berjumlah RM150 juta membabitkan kerosakan infrastruktur, kediaman, pertanian, ekonomi setempat, kemudahan awam serta sektor pendidikan dan kesihatan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Rahimi Ismail berkata angka itu lebih rendah berbanding anggaran awal sebanyak RM230 juta berikutan keberkesanan sistem Lencongan Banjir Barat yang membantu mengurangkan impak limpahan air di beberapa kawasan kritikal.
Beliau berkata jumlah keseluruhan mangsa terkesan termasuk mereka tidak berpindah ke 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi semasa bencana berlaku ialah 38,589 orang daripada 13,881 keluarga.
“Kemasukan air yang cepat, terutama selepas pelepasan air dari Empangan Timah Tasoh menyebabkan banyak kawasan kediaman dan sawah tenggelam,” katanya pada sidang media perkembangan terkini penilaian impak dan gerak kerja pemulihan pasca banjir Perlis di sini.
Rahimi berkata gerak kerja pembersihan skala besar dijalankan secara bersepadu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) melibatkan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) selain polis, bomba dan tentera.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, badan beruniform, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan sukarelawan yang membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negeri,” katanya.
Rahimi berkata sistem amaran dan kesiapsiagaan agensi keselamatan berfungsi dengan baik ketika banjir berlaku meskipun paras air naik dengan pantas.
Beliau berkata bantuan tunai daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada mangsa banjir telah bermula dengan kira-kira satu pertiga sudah menerima bantuan itu manakala selebihnya dijangkakan selesai dalam tempoh tiga minggu.
Selain itu, Rahimi berkata satu lokasi bagi pembinaan sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) dikenal pasti, iaitu sekitar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau yang dijangka bermula 2026 selepas penilaian teknikal dimuktamadkan termasuk aspek kesesuaian tanah dan keperluan infrastruktur.
“Ia bagi memastikan kemudahan itu selamat untuk digunakan pada bila-bila masa bencana. Kita akan teliti semula kriteria teknikal termasuk faktor kawasan sering dinaiki air. PPK ini akan menjadi pusat penempatan utama sebelum PPS lain dibuka mengikut keperluan,” katanya.
-- BERNAMA
