IPOH, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan kekal fokus dalam usaha membanteras rasuah dan memperkukuh tatakelola, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata langkah diambil kerajaan itu nyata telah berjaya menyelamatkan RM15.5 bilion wang negara daripada jatuh ke tangan pihak yang menyeleweng.
“Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, RM15.5 bilion itu telah berjaya diselamatkan kesan daripada tindakan pelaksanaan penguatkuasaan rasuah. Ini yang penting sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan khas bersama wakil petani Cina Parlimen Tambun di sini hari ini.
Mengenai pertemuan berkenaan, Muhammad Kamil berkata beliau telah mengemukakan beberapa cadangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi petani antaranya beralih kepada kaedah pertanian moden atau vertical farming bagi menangani masalah seperti kekurangan kawasan atau tanah di Parlimen Tambun.
"Jadi, insya-Allah minggu depan saya akan cuba bertemu dengan pihak berkepentingan termasuk anak syarikat kerajaan negeri untuk mencadangkan beberapa cadangan alternatif dan ada juga sebahagiannya menuntut pampasan yang lebih setimpal diberikan kepada mereka.
"Hal ini juga akan dibangkitkan dan dibincangkan kemudian. Insya-Allah saya akan sampaikan mesej yang sama kepada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) melibatkan tentang soal tanah dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
