SUKAN

KBS ARAH MSN SIASAT ISU PENARIKAN DIRI DANISH IRFAN

12/12/2025 03:47 PM

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapatkan laporan penuh daripada Olahraga Malaysia (MA) berhubung isu penarikan diri atlet olahraga Danish Irfan Tamrin yang tular baru baru ini.

Hannah berkata langkah itu bagi memastikan ia dapat diselesaikan dalam kadar segera dan beliau memandang serius perkara itu.

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan hanya berdasarkan laporan media sosial. Siasatan sedang berjalan.

“Jika ada apa-apa penemuan salah laku, MSN akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Sebelum ini tular dakwaan bahawa pelari pecut muda negara itu dipaksa menulis surat menarik diri daripada skuad 4x100 meter Malaysia di Sukan SEA Thailand, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang menganggap terdapat kronisme dalam industri sukan di Malaysia.

Dalam pada itu, Hannah berkata semua keputusan berhubung pemilihan atlet perlu dibuat secara profesional dan berasaskan merit, termasuk catatan masa, jarak dan prestasi semasa.

“Saya ingin memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa pemilihan atlet mesti berdasarkan merit. Jika tidak, Malaysia yang rugi,” katanya.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan