EKONOMI

JUALAN SEKTOR PEMBUATAN NAIK 6.3 PERATUS KEPADA RM171.7 BILION PADA OKTOBER - PERANGKAAN

12/12/2025 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Sektor pembuatan mencatatkan nilai jualan berjumlah RM171.7 bilion pada Oktober 2025, meningkat 6.3 peratus berbanding 4.3 peratus pada September 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh subsektor produk elektrik dan elektronik yang melonjak 11.5 peratus pada Oktober 2025 (September 2025: 6.4 peratus).

“Pertumbuhan nilai jualan turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, masing-masing meningkat 11.6 peratus (September 2025: 9.1 peratus) dan 4.6 peratus (September 2025: 2.7 peratus),” katanya dalam laporan Statistik Pembuatan Bulanan Malaysia bagi Oktober 2025, hari ini.

Untuk perbandingan bulan ke bulan, pertumbuhan nilai jualan meningkat 1.4 peratus, dari RM169.3 bilion yang direkodkan September 2025.

Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 71.9 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 6.9 peratus pada Oktober berbanding 3.8 peratus pada bulan lepas.

Prestasi ini terutamanya dipengaruh oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 12.1 peratus (September 2025: 6.1 peratus).

Sementara itu, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan tumbuh 13.4 peratus (September 2025: 7.8 peratus), dan pembuatan kelengkapan elektrik meningkat sebanyak 8.9 peratus (September 2025: 10.1 peratus).

Perbandingan bulan ke bulan, pertumbuhan industri berorientasikan eksport meningkat 0.9 peratus (September 2025: 0.7 peratus).

Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik berkembang 4.8 peratus selepas merekodkan 5.7 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam produk pemprosesan makanan sebanyak 8.5 peratus berbanding 10.5 peratus pada September, serta pembuatan logam asas (6.6 peratus) dan pembuatan produk logam, kecuali jentera dan kelengkapan (6.3 peratus).

Industri berorientasikan domestik turut mencatatkan pertumbuhan 2.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata sejumlah 2.4 juta pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Oktober 2025, bertambah 1.1 peratus berbanding 1.0 peratus pada September 2025, manakala jumlah gaji dan upah naik 1.9 peratus kepada RM83.7 bilion.

Beliau berkata sektor pembuatan merekodkan nilai jualan kumulatif RM1.6 trilion bagi tempoh Januari-Oktober 2025, meningkat 3.9 peratus berbanding 4.5 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Selain itu, nilai jualan setiap pekerja berjumlah RM670,857, meningkat 2.8 peratus, katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan