GEORGE TOWN, 12 Dis (Bernama) -- Kerja utama pembaikan dan menukar paip Indah Water Konsortium (IWK) yang dipercayai menyebabkan kejadian lubang benam di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini telah siap.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata jalan itu bagaimanapun masih ditutup kerana kerja menutup lubang di kawasan tersebut belum siap sepenuhnya.
“IWK telah menyelesaikan kerja utama cuma paip milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di kawasan itu mengalami kebocoran semalam dan belum diketahui puncanya.
“PBAPP akan menjalankan kerja pembaikan manakala IWK melaksanakan beberapa kerja baik pulih dan pemulihan menyebabkan laluan perlu ditutup sehingga siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jambatan Gurney di sini hari ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow merasmikan majlis itu.
Zairil berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan penutupan jalan itu sehingga 17 Dis dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan sepanjang tempoh itu.
Pada 4 Nov, satu lubang benam dikesan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara berukuran 5 meter (m) panjang dan 3.5m lebar serta berdiameter 1.9m yang dipercayai akibat paip bawah tanah bocor.
-- BERNAMA
