JENAYAH & MAHKAMAH

PGA RAMPAS ARAK TIDAK BERCUKAI BERNILAI RM1.73 JUTA DI JOHOR BAHRU

12/12/2025 12:44 PM

JOHOR BAHRU, 12 Dis (Bernama) -- Polis berjaya menggagalkan satu sindiket menjual arak tidak bercukai dengan nilai rampasan berjumlah RM1.73 juta hasil serbuan di dua rumah di Taman Bukit Indah, di sini, Selasa lepas menerusi Ops Taring Alpha 2.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia Supt Salehin Suleiman berkata turut ditahan dalam serbuan kira-kira 3 petang itu ialah tiga lelaki berumur lingkungan 18 hingga 39 tahun.

“Semasa  pemeriksaan, kami menemukan karton dan kotak arak pelbagai jenama yang dibeli dari kawasan zon bebas cukai.

“Modus operandi sindiket ini ialah membeli dan membawa bekalan arak dari zon bebas cukai yang akan dipecahkan mengikut permintaan pembeli serta pada masa yang sama menjadikan rumah yang disewa sebagai stor penyimpanan arak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salehin berkata turut dirampas ialah dua kenderaan jenis Toyota Estima dan Toyota Innova.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan