AM

UTM KETUAI KERJASAMA SAINTIFIK SERANTAU PADA SIDANG KEMUNCAK KUANTUM ASEAN 2025

12/12/2025 08:40 AM

JOHOR BAHRU, 11 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar satu lagi pencapaian penting dalam kepimpinan sains dan teknologi serantau ketika menjadi tuan rumah dan mengetuai penganjuran Sidang Kemuncak Kuantum ASEAN 2025, yang julung kali diadakan di Dewan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Dianjurkan oleh UTM dan UTMSpace, dengan kerjasama universiti terkemuka Malaysia serta Inisiatif Maklumat Kuantum Malaysia (MyQI) menjadi platform pertama di peringkat ASEAN, terutama bagi memperkasa kesiapsiagaan serantau dalam teknologi kuantum.

Acara bersejarah itu menghimpunkan sebahagian besar komuniti saintifik rantau ini, termasuk lebih 200 perwakilan dari semua 10 Negara Anggota ASEAN dan Jepun, selain wakil universiti, institusi penyelidikan nasional serta badan industri utama.

“Selaras dengan agenda ASEAN Malaysia 2025: Inklusiviti dan Kelestarian, sidang kemuncak ini mencerminkan keutamaan Pengerusi ASEAN untuk memperkukuh kapasiti saintifik kolektif dan daya tahan digital.

“Ia juga meraikan Tahun Antarabangsa Sains dan Teknologi Kuantum (IYQ) 2025, sempena memperingati 100 tahun mekanik kuantum,” menurut kenyataan UTM.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kira-kira 3,000 pelajar turut menyertai aktiviti sidang berkenaan, menggambarkan komitmen bersama ASEAN dalam mempersiapkan rantau ini menghadapi peluang serta risiko era kuantum.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata sains kuantum berkembang pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini di peringkat global dan institusi ASEAN mesti memainkan peranan utama dalam kemajuan itu.

“Sebagai institusi ASEAN, kita perlu memimpin kemajuan ini bersama-sama. Kerjasama kita dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan kepimpinan saintifik akan memperkukuh rantau secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata pasukan UTM telah berjaya melaksanakan komunikasi kuantum selamat antara UTM dan Pusat Data Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Iskandar Puteri, menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam keupayaan kuantum negara.

Beliau berkata fasa seterusnya inisiatif itu bertujuan meluaskan sambungan ke sektor kewangan JS-SEZ di Forest City sebelum diperluaskan ke Singapura.

“Kemajuan ini membawa kita lebih hampir kepada pembentukan rangkaian kuantum rentas sempadan yang selamat,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata Johor kini mempunyai peluang untuk muncul sebagai antara hab inovasi kuantum paling berpotensi di ASEAN susulan penubuhan JS-SEZ yang terletak secara strategik dan mempunyai kesalinghubungan rentas sempadan yang kukuh.

Beliau berkata pada masa sama, Johor juga berada pada kedudukan unik untuk merapatkan idea, penyelidikan dan industri di seluruh rantau ini, dan kewujudan JS-SEZ akan mempercepatkan pembangunan kuantum di Johor dan Malaysia.

Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf Dewan Sultan Iskandar di UTM di sini.

Sidang Kemuncak Kuantum ASEAN 2025 menyokong Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026-2035 yang meletakkan sains kuantum sebagai bidang strategik baharu bagi pembangunan jangka panjang ASEAN.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan