KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- MIXUE Malaysia meraikan pencapaian penting dengan pensijilan halal baharu di lebih 100 rangkaian kedainya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2025, satu perkembangan yang dijangka dapat mengukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap aspek keselamatan dan jaminan halal produknya.
MIXUE Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa rangkaian kedainya yang berkembang pesat, telah meletakkan mereka sebagai antara rangkaian minuman teh dan ais krim terbesar di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan komitmennya sejak 2022 untuk menyelaraskan strategi perniagaan dengan nilai budaya dan sosial Malaysia.
Menurut kenyataan itu pengiktirafan halal daripada JAKIM, mempunyai kepentingan strategik kerana membuktikan dedikasi jenama tersebut dalam memperkukuh kedudukan mereka dalam industri makanan dan minuman tempatan.
“Pada tahun 2025 sahaja, pasukan halal MIXUE berjaya membantu lebih 100 kedai memperoleh pensijilan halal dan MIXUE akan terus memperluas jumlah cawangan bertauliah pada masa hadapan.
“Dengan pensijilan halal ini, MIXUE akan terus berpegang kepada misinya iaitu memperkukuh jenama, memperkaya rakan kongsinya dan memastikan semua orang di dunia dapat menikmati produk yang lazat, berkualiti tinggi dan mampu milik,” menurut kenyataan itu.
Pada majlis penyampaian sijil halal itu Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM Muhyiddin Aziz @ Saari, secara simbolik menyerahkan sijil berkenaan kepada Pengurus Besar MIXUE Malaysia Wang Wei Long, disaksikan Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penjanaan Dana Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ummu Hani Husna Abdul Aziz.
Wang melahirkan penghargaannya kepada institusi dan rakan kongsi yang sentiasa menyokong perjalanan halal MIXUE, termasuk JAKIM, YADIM, rakan media, pemegang francais, serta para tetamu.
Beliau menekankan bahawa setiap proses dan prosedur di MIXUE diperiksa dengan teliti, bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap standard halal JAKIM.
“Daripada perolehan bahan mentah sehingga prosedur operasi cawangan, kami mematuhi semua keperluan JAKIM dan telah membangunkan Sistem Jaminan Halal MIXUE yang menyeluruh.
“Setiap cawangan diwajibkan mengikuti prosedur ini untuk memastikan kualiti konsisten, pengurusan telus dan pematuhan undang-undang di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Projek Halal MIXUE Guo Xuying menyatakan penghargaan beliau kepada agensi kerajaan, atas panduan profesional sepanjang proses pensijilan, yang telah membantu MIXUE terus memperbaiki dan mengukuhkan Sistem Jaminan Halalnya.
Beliau menekankan bahawa pensijilan halal bukan sekadar alat promosi, tetapi merupakan titik permulaan komitmen MIXUE terhadap tanggungjawab sosial dan pengukuhan jenama.
“Pensijilan halal bukanlah matlamat akhir, tetapi permulaan kepada komitmen berterusan MIXUE terhadap tanggungjawab sosial dan peningkatan jenama,” katanya.
-- BERNAMA
