EKONOMI

NAIK TARAF STATUS BANTERAS KEWANGAN HARAM MALAYSIA CERMINKAN USAHA MENYELURUH NEGARA - GABENOR BNM

11/12/2025 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Langkah Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) untuk menaik taraf status Malaysia kepada status “Regular Follow-Up” iaitu kategori tertinggi di bawah proses penilaian bersama, mencerminkan komitmen dan usaha menyeluruh negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Badan pemantau jenayah kewangan global FATF dan Kumpulan Asia/Pasifik (APG) mengenai Pengubahan Wang Haram dalam Laporan Penilaian Bersama (MER) mereka, telah menaik taraf Malaysia kepada status “Regular Follow-Up” bagi rangka kerja antipengubahan wang haram, memerangi pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (AML/CFT/CPF) daripada status “Enhanced Measures Regular Follow-Up” pada 2015.

Peningkatan status ini susulan penilaian bersama sebelumnya pada 2015, mencerminkan pematuhan teknikal yang kukuh oleh Malaysia serta keberkesanan yang meningkat dalam membanteras pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (ML/TF/PF).

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen dan usaha menyeluruh oleh Malaysia untuk melindungi integriti sistem kewangan dan memerangi pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

“Kami akan terus memperkukuh kerangka AML/CFT/CPF negara bagi menangani risiko yang baru muncul, mengekalkan keyakinan global terhadap sektor kewangan Malaysia serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing,” kata Abdul Rasheed dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata MER mengiktiraf kekuatan utama rejim AML/CFT/CPF Malaysia, seperti rangka kerja perundangan dan institusi yang menyeluruh untuk memerangi ML/TF/PF, termasuk undang-undang yang baru-baru ini dipinda seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan, Akta Syarikat 2016, Akta Syarikat Labuan 1990, Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan Akta Pemegang Amanah 1949.

Bank pusat berkata pemahaman Malaysia yang kukuh dan mendalam mengenai risiko ML/TF/PF, penyelarasan dan kerjasama domestik yang mantap, pemulihan aset yang ketara dan kemampuan risikan kewangan yang canggih turut diiktiraf dalam MER.

“MER ini menegaskan kekukuhan penjajaran Malaysia dengan piawaian antarabangsa, mencerminkan komitmen negara untuk melindungi integriti sistem kewangan,” katanya.

BNM berkata hasil yang positif ini memperkukuh keyakinan global terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang selamat dan telus, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran jangka panjang.

“Hal ini juga memperteguh kepercayaan serta menggalakkan kerjasama rentas sempadan, lantas membuka ruang kepada rangkaian dan perkongsian yang lebih mendalam dengan negara-negara lain.

“Susulan penerbitan MER, Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (NCC) akan membangunkan dan melaksanakan strategi serta pelan tindakan kebangsaan yang komprehensif bagi menangani risiko dan melaksanakan saranan daripada laporan itu ke arah memperteguh kerangka AML/CFT/CPF negara,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan