EKONOMI

HARGA MSM TERHAD KERANA SIMPANAN STOK, KATA CIMB SECURITIES

11/12/2025 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan simpanan stok yang meningkat akan terus mengehadkan harga minyak sawit mentah (MSM).

Firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata, inventori Malaysia dijangka meningkat sebanyak tiga peratus bulan ke bulan kepada 2.93 juta tan pada Disember 2025 susulan kenaikan sederhana dua peratus dalam eksport, tidak mencukupi untuk menyerap pengeluaran.

Ia berkata, pengeluaran minyak sawit diunjurkan menurun sebanyak 11 peratus bulan ke bulan kepada 1.72 juta tan pada Disember 2025, berikutan pengeluaran lebih kukuh daripada jangkaan pada November yang mendorong stok ke paras tertinggi dalam tempoh enam tahun.

"Stok minyak sawit Malaysia menokok sebanyak 13 peratus bulan ke bulan dan 55 peratus tahun ke tahun pada November 2025 kepada 2.84 juta tan.

"Ia mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh enam tahun dan melebihi kedua-dua jangkaan kami (2.57 juta tan) dan anggaran konsensus (2.61–2.77 juta tan) disebabkan oleh pengeluaran yang lebih kukuh daripada jangkaan," katanya.

Dilaporkan eksport minyak sawit turun 10.3 peratus bulan ke bulan dalam 10 hari pertama Disember manakala harga purata MSM susut 7.3 peratus bulan ke bulan pada November kepada RM4,089 setiap tan.

"Harga menunjukkan penurunan kebelakangan ini dengan harga MSM semerta pada RM4,029 setiap tan dan niaga hadapan tiga bulan pada RM4,045 setiap tan selain stok simpanan yang tinggi, pelaksanaan terhad bagi mandat B50 Indonesia dan permintaan yang lebih lemah dari China," kata firma itu.

CIMB Securities menjangkakan stok simpanan yang lebih tinggi daripada jangkaan akan terus mengehadkan harga MSM sehingga eksport meningkat atau terdapat kejelasan dasar mengenai penggunaan biodiesel di Amerika Syarikat dan Indonesia.

Firma pembrokeran itu menambah penurunan pengeluaran secara musiman pada suku pertama 2026 dijangka membantu menyokong harga melebihi RM4,000 setiap tan selain mengekalkan jangkaan harga purata MSM sebanyak RM4,200 setiap tan untuk 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan