BUTTERWORTH, 10 Dis (Bernama) -- “Saya sedaya upaya cuba menyelamatkan mangsa, tetapi gagal kerana api sudah terlalu marak,” kata saksi kejadian kebakaran yang mengorbankan dua nyawa di Taman Rathna, Telok Air Tawar, di sini pagi tadi.
Menceritakan detik cemas itu, S. Suppamal, 52, berkata sebelum itu, dia berada di kuil berhampiran kerana bertemu dengan seorang rakan kira-kira 8.30 pagi dan tidak lama kemudian dikejutkan dengan suasana kecoh jiran tetangga yang memaklumkan sebuah rumah di situ sedang terbakar.
Katanya, dia kemudian berlari ke rumah terbabit dan bertindak melompat dari tembok rumah jiran sebelah berikutan pintu pagar utama rumah yang terbakar itu berkunci.
“Dalam keadaan kelam-kabut dengan kepulan asap tebal dan api yang marak, saya berjaya memecahkan pintu kaca hadapan menggunakan payung, tetapi tidak dapat membuka pintu jeriji kerana berkunci.
“Ketika itu, saya terdengar suara wanita meminta tolong, sekali sahaja sebelum suara itu hilang. Saya kemudian pergi ke bahagian belakang untuk cuba masuk, tetapi tak boleh juga sebab api memang marak dan sudah memusnahkan sebahagian besar rumah itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wanita itu berkata pada masa sama, dalam kepulan asap tebal, dia dapat melihat kelibat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an sedang menggoncang kuat pintu jeriji, tetapi tidak dapat membukanya.
Suppamal yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa walaupun sudah berusaha menggunakan segala kemahiran asas menyelamat yang dipelajari kerana situasi ketika itu sangat bahaya.
Dalam kejadian itu, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkat perempuan dikenali sebagai Andra berusia lima tahun rentung akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan, manakala anak lelakinya Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.
Sementara itu, bekas suami Hayani, Kamarozlan Muhammad, 57, berkata dia mengetahui kejadian terbabit selepas dihubungi anak sulung Nini Quraisha, 27, kira-kira 10.20 pagi, namun menyangkakan kejadian itu kebakaran biasa dan meminta anaknya itu pergi dahulu ke lokasi.
“Tetapi apabila sampai di sini, rupa-rupanya bekas isteri terkorban bersama dengan anak angkatnya. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada Jumaat lepas kerana menghantar makanan dan barangan dapur serta pasir kucing sebab dia minta tolong saya belikan,” katanya.
Pekerja syarikat kawalan keselamatan itu berkata bekas isterinya menyewa di rumah berkenaan sejak lebih lima tahun lepas dan tinggal bersama-sama anak bongsu serta anak angkat dan anak lelakinya itu baru saja mula bekerja dengan syarikat minyak dan gas di Pengerang, Johor.
“Mungkin anak lelaki pulang bercuti sebab itu dia ada di rumah ketika kejadian, saya pun tidak dapat nak pastikan,” katanya.
Kamarozlan berkata meskipun dia dan bekas isteri telah berpisah sejak lebih 10 tahun lepas, mereka masih mengekalkan hubungan baik, malah akan ke rumah itu dua kali sebulan untuk menghantar makanan.
Katanya, arwah juga akan menghubunginya sekiranya mempunyai masalah atau memerlukan bantuan termasuk dari segi kewangan dan pernah menyatakan hasrat untuk berpindah ke Johor untuk tinggal bersama-sama Daniel Quyum selepas keadaan kewangan anaknya itu stabil, namun tidak kesampaian.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata bomba menerima panggilan pada 9.41 pagi dan mayat kedua-dua mangsa dijumpai di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala Daniel Quyum ditemukan di kawasan pintu dapur dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA
