KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan sentiasa terbuka dalam mendapatkan input berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.
Beliau berkata setiap pandangan yang dikemukakan, termasuk melalui perbincangan bersama pemegang taruh diambil kira bagi memastikan RUU berkenaan selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Ia memerlukan sesi libat urus holistik dengan semua parti politik yang masing-masing mempunyai pandangan berbeza,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab celahan Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan yang ingin mengetahui komitmen kerajaan dalam melaksanakan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) dan Akta Pendanaan Politik.
Kulasegaran berkata dalam proses penggubalan RUU Pendanaan Politik, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, sudah mengadakan 20 siri sesi libat urus (SLU) bersama pihak berkepentingan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 12 siri SLU dilaksanakan di peringkat negeri, melibatkan penyertaan 1,539 peserta termasuk pegawai kerajaan Persekutuan dan negeri, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta golongan belia bagi mendapatkan pandangan serta input akar umbi terhadap cadangan dasar RUU berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dijangka berkuat kuasa pada Mei 2027 membawa signifikasi besar kepada demokrasi berparlimen di Malaysia kerana bukan sahaja mengembalikan autonomi institusi berkenaan, malah memperkukuh prinsip pemisahan kuasa yang menjadi teras sistem demokrasi berperlembagaan.
Katanya dengan penggubalan akta itu, Parlimen akan dapat berfungsi dengan lebih bebas tanpa bergantung kepada cabang eksekutif, sekali gus memastikan peranan legislatif dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berwibawa.
“Dengan pembaharuan ini, Parlimen Malaysia akan kembali berfungsi dalam kapasiti yang bebas dan bersedia memainkan peranannya sebagai badan legislatif yang bertanggungjawab kepada rakyat.
“Reformasi ini bukan hanya mengenai pentadbiran, tetapi turut memartabatkan kembali kedaulatan institusi Parlimen dalam sistem demokrasi negara, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh institusi demokrasi serta membina sistem pentadbiran yang lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Turut menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
-- BERNAMA
