AM

TIADA KIT UJIAN KENDIRI INFLUENZA DILULUSKAN MDA SETAKAT INI

10/12/2025 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat ini tidak mendaftarkan sebarang kit ujian kendiri Influenza kerana kebanyakan kit berkenaan mengesan kehadiran virus melalui sampel air liur.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata kaedah pengesanan itu didapati kurang berkesan dan tidak menghasilkan keputusan yang tepat.

“Pengambilan sampel melalui calitan hidung atau darah dan ujian dijalankan di bawah seliaan pengamal perubatan bagi mendapatkan hasil yang lebih tepat adalah lebih wajar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Azahar Hassan berhubung justifikasi Kementerian Kesihatan (KKM) yang belum meluluskan kit ujian kendiri untuk Influenza meskipun terdapat kes dan kebimbangan kesihatan awam bermusim.

Lukanisman berkata KKM akan mempertimbangkan alternatif ujian pengesanan yang mudah diakses dan berkesan bagi menangani kes jangkitan Influenza supaya penularan penyakit itu dapat dibendung serta tidak mengancam kesihatan awam.

Menjawab soalan tambahan Senator Dr R A Lingeswaran mengenai piawaian ditetapkan Malaysia susulan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan kit ujian kendiri COVID-19 dan Influenza untuk kegunaan di rumah, Lukanisman berkata MDA meletakkan spesifikasi yang sangat tinggi bagi penggunaan kit ujian kendiri.

“Penggunaan kit ini perlu diambil serius kerana kita bimbang kit yang tidak sensitif akan disalahgunakan, contohnya bagi alasan cuti, dengan mendakwa mereka positif Influenza,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan