KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) – Pengamal media dianggap sebagai nadi penting dalam menyebarkan maklumat berkaitan pengurusan zakat, kebajikan asnaf dan pelbagai inisiatif kesejahteraan ummah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) secara tepat dan berkesan.
Pengerusi MAIWP Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata kerjasama strategik antara MAIWP dan media merupakan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat yang lebih makmur.
Beliau menekankan sokongan media juga memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha MAIWP memacu pembangunan sosial khususnya dalam kalangan asnaf.
“Setiap berita, liputan, dokumentari dan perkongsian inspirasi yang disiarkan membantu membentuk kefahaman masyarakat terhadap usaha kami dalam pengurusan zakat, bantuan sosial, pembangunan asnaf serta pelbagai inisiatif kesejahteraan umum.
“Anda adalah jambatan komunikasi antara MAIWP dan rakyat yang memastikan mesej kami sampai dengan tepat, tulus dan berkesan,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Ramah Mesra MAIWP Bersama Media 2025 di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengurus Komersial Bernama Mastura Hassan.
Majlis tersebut bertujuan meraikan pengamal media sebagai penghargaan atas sokongan berterusan mereka dalam memperkukuh komunikasi MAIWP kepada masyarakat.
Sepuluh agensi media menerima sijil penghargaan termasuk Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, TV Al-Hijrah, Sinar Harian (Kumpulan Media Karangkraf), MalaysiaGazette, Media Prima, Media Mulia, IKIMfm, dan Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sementara itu, Syed Kamarulzaman turut berkongsi kejayaan Projek Bangkit, sebuah program realiti yang mengangkat usahawan MAIWP ke peringkat lebih tinggi, yang menyaksikan juara akhir menerima geran RM50,000 daripada MAIWP dan penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1 juta daripada TV Al-Hijrah.
Beliau berkata program berkenaan merupakan satu daripada inisiatif terpenting MAIWP dalam menjana pembangunan asnaf dan kejayaannya tidak dapat dicapai tanpa komitmen peserta serta sokongan rakan strategik termasuk media.
“Kerjasama strategik MAIWP dan media bukan hanya hubungan kerja tetapi satu bentuk tanggungjawab bersama dalam membina sebuah masyarakat yang makmur dan sejahtera. Saya percaya dengan sokongan berterusan daripada rakan-rakan media, lebih banyak kisah kejayaan dapat diketengahkan.
“Lebih ramai masyarakat akan memahami kepentingan zakat dan peranan MAIWP dan lebih ramai asnaf akan mendapat peluang untuk membina kehidupan baharu,” katanya.
-- BERNAMA
