SINGAPURA, 4 Dis (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, sambil mengakui isu legasi pembangunan dan sentimen warisan terhadap Persekutuan mungkin mempengaruhi kecenderungan pengundi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan besar bagi projek jalan raya, bekalan air dan elektrik, namun beberapa projek masih belum disiapkan sekali gus menimbulkan keresahan rakyat dan persepsi serta menyalahkan Persekutuan.
“Walaupun bantuan telah disalurkan dalam jumlah besar, masalah masih wujud kerana beberapa projek belum selesai sepenuhnya. Ini adalah isu legasi dan warisan yang perlu diperbaiki,” kata Anwar yang juga Pengerusi PH pada sidang akhbar selepas sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 di sini.
Pada PRN Sabah ke-17, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meraih 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Parti Warisan (25), Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat serta PH masing-masing menang satu kerusi.
Anwar berkata isu asas seperti elektrik, air dan ketersambungan masih membelenggu rakyat di kampung, pedalaman dan kawasan bandar, menyumbang kepada persepsi bahawa Persekutuan kurang menunaikan janji pembangunan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan terus mempergiat libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan menyelesaikan isu pembangunan secara berperingkat.
Mengulas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar berkata kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan isu pembangunan melalui rundingan pelbagai peringkat termasuk dengan Raja-Raja Melayu, sambil mengambil kira sentimen rakyat terhadap warisan dan legasi negeri.
Beliau memaklumkan sebahagian tanggungjawab seperti pengurusan bekalan elektrik telah telah diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah, namun kerajaan Persekutuan menambah peruntukan RM1.2 bilion bagi memastikan projek kritikal dapat diteruskan.
“Apabila projek ini siap, kita berharap mudah-mudahan dia beralih (sokongan kepada kerajaan). Kerajaan akan terus komited menyelesaikan isu pembangunan dan perkhidmatan asas demi rakyat Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
