EKONOMI

JLG SASAR PELABURAN RM40 BILION BAGI FASA KEDUA PUSAT DATA DI IBTEC, JOHOR

03/12/2025 12:24 PM

JOHOR BAHRU, 3 Dis (Bernama) -- JLand Group Sdn Bhd (JLG) menyasarkan pelaburan bernilai kira-kira RM40 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi fasa kedua projek pembangunan pusat data yang dikenali sebagai StepWest.

Pengarah Urusan JLG Datuk Akmal Ahmad berkata sasaran itu berdasarkan minat pelaburan yang kukuh ke atas fasa pertama StepEast.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang juga pembangunan bersepadu berkeluasan 2,950 hektar (7,290 ekar) yang dijangka menjadi pemacu Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

StepWest merupakan perluasan daripada StepEast dan terletak dalam IBTEC.

Menurutnya, StepEast telah meraih pelaburan lebih RM30 bilion dengan 11 pelabur pusat data antarabangsa dari negara termasuk China, Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia.

Mengulas IBTEC yang dijangka siap pada 2047, JLG menjangkakan kawasan berkenaan akan menyumbang sebanyak RM37.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, JLG berkata IBTEC akan memacu industri bernilai tambah tinggi menerusi satu platform yang menghimpunkan teknologi perubatan dan sains hayat, pembuatan maju, logistik, pusat data serta agriteknologi.

Menerusi kapasiti penyelidikan dan pembangunan, amalan mampan serta kerangka digital yang kukuh, IBTEC juga berada pada kedudukan terbaik dari segi meningkatkan asas industri Johor ke arah aktiviti lebih kompleks serta bernilai tinggi.

Kenyataan itu juga menyifatkan IBTEC sebagai bukti pengembangan JLG daripada pemaju konvensional kepada penyelaras ekosistem hartanah serba lengkap dan menyeluruh.

Pada majlis pelancaran itu, Pengurus Besar Kanan (Kerjasama Strategik dan Pembangunan Perniagaan) JLG Faezah Ayub berkata IBTEC akan menumpukan segmen robotik, pusat data, sains hayat, pusat ilmu dan latihan, penyelidikan dan pembangunan, jentera, teknologi makanan, logistik dan gudang serta bioteknologi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi JLG Ahmad Fadzli Zainudin berkata syarikat menyasarkan untuk menyiapkan bangunan LIVILAB yang turut terletak di IBTEC menjelang 2030.

Reka bentuk LIVILAB mendapat sentuhan Zaha Hadid Architects (ZHA) dan berkeluasan 215,000 kaki persegi.

JLG merupakan cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan