Daripada Siti Noor Afera Abu
LAS VEGAS, 3 Dis (Bernama) -- ASEAN dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi digital yang lebih kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang, disokong oleh permintaan awan yang semakin meningkat dan pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
Pengarah Urusan AWS ASEAN Jeff Johnson berkata rantau itu kini bergerak daripada peringkat awal penggunaan kecerdasan buatan (AI) kepada model perniagaan yang dipacu sepenuhnya oleh AI dengan penggunaannya kini telah berada pada skala industri.
Beliau berkata para pelanggan kini semakin yakin dan mula membayangkan semula proses perniagaan dengan pendekatan berteraskan AI.
“Di bawah DEFA, Malaysia mengukuhkan kedudukannya melalui teras tadbir urus yang menekankan keperluan sistem AI yang jelas dan selamat dalam kalangan negara anggota.
“AI yang boleh dipercayai merupakan fokus kami sejak awal. Kami membangunkan keupayaan ini terus ke dalam perkhidmatan untuk menyokong keperluan yang muncul di bawah DEFA,” katanya pada taklimat media untuk negara ASEAN pada acara AWS re:Invent 2025 di sini pada Selasa.
Dari segi infrastruktur, Johnson berkata AWS telah mengadakan kerjasama di Malaysia untuk membangunkan sebuah kemudahan pemulihan semula air berkapasiti 6.5 bilion liter setahun, iaitu bersamaan 2,600 kolam renang bersaiz Olimpik, bagi menyokong penyejukan pusat data dan kemampanan jangka panjang infrastruktur digital.
Beliau berkata AWS melihat peluang yang ketara di Malaysia apabila AI membantu syarikat besar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempercepatkan penggunaan teknologi, terutamanya melalui alat yang mengurangkan halangan kemahiran bagi pembangunan perisian dan migrasi awan.
Di peringkat serantau, Johnson berkata ASEAN kekal sebagai rantau pertumbuhan berkeutamaan tinggi bagi AWS, yang dizahirkan melalui peningkatan penglibatan serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pembangunan bakat dan program inovasi.
“Keutamaan kami adalah membangunkan kemahiran digital, mewujudkan peluang ekonomi dan menyokong usaha pembinaan negara. Dalam usaha ASEAN menuju ke arah mencapai ekonomi digital bernilai US$1 trilion, impaknya terhadap pekerjaan, keluarga dan pertumbuhan jangka panjang adalah besar,” katanya.
Selain itu, beliau berkata AWS turut memberi tumpuan kepada pengguna baharu, syarikat yang menaik taraf sistem lama dan PKS yang memanfaatkan AI untuk membangunkan dan melancarkan produk mereka dengan lebih pantas.
“Apabila AI mempercepatkan pemindahan sistem ke awan, khususnya bagi penggunaan sistem yang lama, kami menjangkakan syarikat-syarikat akan menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang,” katanya.
Acara AWS re:Invent 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 5 Dis, 2025 di Las Vegas, Amerika Syarikat, merangkumi pengumuman utama, latihan dan peluang pensijilan, akses kepada lebih 1,000 sesi teknikal serta pameran. Ia dijangka menarik sekitar 60,000 penyertaan dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
