KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- LAC Med Bhd mencatatkan tawaran awam permulaan (IPO) terlebih langganan sebanyak 12.64 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat penyelesaian dan peranti perubatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia menerima 6,649 permohonan untuk 272.79 juta saham IPO bernilai RM204.60 juta bagi 20 juta saham yang disediakan.
“Daripada jumlah ini, bahagian bumiputera menerima 3,427 permohonan untuk 118.53 juta saham, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 10.85 kali manakala bahagian awam mencatatkan 3,222 permohonan untuk 154.26 juta saham dengan kadar terlebih langganan sebanyak 14.43 kali.
"Sementara itu, 4.19 juta saham yang diperuntukkan kepada individu yang layak termasuk pengarah dan kakitangan Lac Med serta individu yang menyumbang kepada kejayaan Lac Med dan anak-anak syarikatnya, dilanggan sepenuhnya," katanya.
Selain itu, tawaran institusi meliputi 50 juta saham yang ditawarkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta sehingga 30 juta saham yang ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih, dilanggan sepenuhnya.
Menariknya, 30 juta saham yang diperuntukkan untuk proses penetapan harga menerima permintaan yang luar biasa dengan kadar langganan melebihi 10 kali daripada pelabur institusi dan terpilih.
"Susulan daripada penyelesaian proses penetapan harga di bawah tawaran institusi pada 25 Nov, 2025, RHB Investment Bank Bhd mengumumkan harga institusi ditetapkan pada RM0.75 setiap saham IPO.
"Oleh itu, harga runcit akhir untuk saham IPO di bawah tawaran runcit juga ditetapkan pada RM0.75 setiap saham IPO," katanya.
RHB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin bersama dan ejen penempatan tunggal manakala Alliance Islamic Bank Bhd merupakan penaja jamin bersama.
-- BERNAMA
