DUNIA

 ANGKA KEMATIAN BANJIR, TANAH RUNTUH DI SUMATERA INDONESIA MELEBIHI 80

28/11/2025 06:53 PM

JAKARTA, 28 Nov (Bernama-dpa) -- Lebih 80 orang maut dan puluhan lagi masih hilang selepas hujan lebat berterusan beberapa hari yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di tiga wilayah Indonesia, lapor agensi bencana negara pada Jumaat, seperti dipetik oleh Agensi Berita Jerman (dpa).

Pasukan kecemasan sedang bertungkus lumus untuk membuka semula jalan yang terhalang dan memulihkan komunikasi untuk sampai ke kampung yang terputus hubungan sejak awal minggu ini.

Angka kematian paling ramai berlaku di Sumatera Utara, yang pihak berkuasa melaporkan 55 kematian dan 41 orang masih hilang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).

Daerah Tapanuli Tengah mencatat angka kematian tertinggi iaitu 34 orang, manakala 33 orang lagi masih belum ditemukan.

Di Sumatera Barat, 21 orang disahkan meninggal dunia selepas banjir kilat melanda beberapa daerah, menurut agensi itu. Pasukan mencari masih berusaha untuk sampai ke kawasan komuniti terpencil apabila jalan raya masih dihalang oleh serpihan, katanya.

Banjir bermula awal minggu ini selepas hujan tanpa henti menyebabkan sungai melimpah di beberapa daerah.

Pegawai berkata keutamaan segera termasuk membersihkan jalan raya yang terhalang akibat tanah runtuh, membaiki jambatan, menghantar bekalan makanan dan perubatan melalui udara dan memulihkan rangkaian elektrik serta telefon bimbit ke daerah yang terputus hubungan.

Dua pesawat digunakan untuk usaha pengubahsuaian cuaca yang bertujuan mengurangkan taburan hujan, manakala helikopter pula bersiap sedia untuk menghantar bantuan, menurut BNPB.

Indonesia adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.

Hujan lebat semasa musim tengkujuh dari November hingga April sering mencetuskan banjir dan tanah runtuh, terutamanya di kawasan yang penebangan hutan, muka bumi curam dan pertumbuhan penduduk yang pesat meletakkan komuniti pada risiko yang lebih besar.

Saintis iklim memberi amaran, kejadian hujan ekstrem semakin kerap berlaku.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan