PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam salah laku atau jenayah rasuah termasuk bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu ditegaskan Anwar ketika memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai peletakan jawatan Syamsul Iskandar pada Selasa.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Perdana Menteri turut mengulangi pendirian sama seperti dinyatakan beliau sebelum ini, iaitu sebarang dakwaan salah laku perlu disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa pengecualian.
“Perdana Menteri turut memberi peringatan kepada semua Jemaah Menteri untuk sentiasa memantau terutama pegawai-pegawai dan tidak akan dilindungi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang mungkin bersifat salah laku,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Ditanya mengenai status Shamsul Iskandar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi berkata perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan datang.
“Jadi mungkin kita perlu tunggu sehingga MPP akan datang. Memandangkan pada waktu ini beliau baru meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan, belum lagi ada perbincangan di pihak parti mengenai apa-apa jawatan politik (melibatkan Shamsul Iskandar),” katanya.
Shamsul Iskandar yang memegang jawatan Pengerusi Biro Antarabangsa PKR mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, berikutan terdapat percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.
Media turut melaporkan Shamsul Iskandar hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.
-- BERNAMA
