EKONOMI

MALAYSIA TINGKATKAN HUBUNGAN DUA HALA DENGAN KENYA, HAPUS TARIF PRODUK PERTANIAN

24/11/2025 08:31 PM

Daripada M.Saraswathi

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Kenya bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, menandakan peristiwa penting bersejarah dalam hubungan diplomatik yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak 60 tahun.

Presiden Kenya William Samoei Ruto berkata hubungan yang dipertingkatkan itu akan memastikan kerjasama antara Putrajaya dan Nairobi digerakkan dengan tujuan dan struktur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata perkongsian strategik itu akan merangkumi semua bidang dan import pertanian tradisional malah juga dalam teknologi baharu seperti peralihan tenaga dan transformasi digital, termasuk semikonduktor.

Kedua-dua pemimpin itu berkata demikian pada sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di State House, di sini.

“Kami mengukuhkan komitmen kami untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, mengembangkan eksport Kenya ke Malaysia dan sebaliknya, serta memperdalam kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan berteknologi tinggi,” kata Ruto.

Beliau berkata persetujuan Anwar untuk menghapuskan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu, merupakan satu langkah penting yang akan membuka peluang pasaran baharu kepada petani Kenya dan mengukuhkan asas komersial perkongsian antara kedua-dua negara.

Eksport utama Kenya ke Malaysia termasuk teh, kopi, bunga, avokado, titanium, kulit dan daging lembu, manakala eksport Malaysia ke Kenya sebahagian besarnya terdiri daripada minyak dan lemak boleh dimakan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian dan getah.

Anwar, yang berada di sini sempena lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini berkata berkata garis panduan am dan pelaksanaan keputusan yang dibuat di Nairobi boleh dimuktamadkan sebelum lawatan Ruto tahun depan.

“Saya beri jaminan bahawa sebelum lawatan anda, kami akan memastikan beberapa garis panduan am dan pelaksanaan keputusan dibuat lebih awal, (sama ada) pada Disember, Januari, Februari. Ada beberapa bulan lagi masa, tetapi kita mesti menunjukkan bahawa kita boleh melakukannya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan