AM

PGRS PILIH KETERANGKUMAN, TOLAK POLITIK KEBENCIAN DEMI MASA DEPAN SABAH

24/11/2025 11:21 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara tunjang utama dalam landskap politik negeri, didukung oleh kepimpinan berpengalaman serta visi yang menekankan keterangkuman dan penyatuan rakyat.

Setiausaha Agung PGRS Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata kekuatan parti itu, yang kini berusia 12 tahun, terletak pada komposisi kepimpinannya terdiri daripada tokoh politik berpengalaman luas termasuk Presiden PGRS yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor selain Datuk Seri Masidi Manjun.

“Kami parti yang membawa nafas baharu dalam pendekatan politik Sabah, anda boleh lihat komposisi anggota parti yang terdiri daripada ahli politik berpengalaman,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keanggotaan PGRS yang merangkumi pelbagai etnik termasuk Melayu, Kadazan dan Cina menjadikan keterangkuman sebagai teras perjuangan parti.

“Kita di bawah satu bumbung tanpa mengira kaum atau agama… jadi, marilah kita bersama-sama berusaha ke arah Sabah yang lebih baik kerana rakyat Sabah sebenarnya adalah rakyat Malaysia yang sejati,” katanya.

Mengulas mengenai misi parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, Mohamed Razali berkata PGRS menumpukan kesinambungan agenda pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan SMJ 2.0 selain tidak mahu terperangkap dalam retorik politik atau budaya politik kebencian.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa PGRS bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebaliknya menegaskan kerjasama dalam gabungan itu dibina atas konsensus dan saling melengkapi.

Mohamed Razali juga berkata kerjasama PGRS dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI bukanlah satu isu walaupun dipersoal parti lawan yang membawa slogan Sabah for Sabahan.

“Saya tidak melihat perkara itu sebagai satu isu namun kami harus menanganinya dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa jumlah 35 kerusi yang ditandingi PGRS pada PRN kali ini mencerminkan keyakinan parti itu terhadap sokongan rakyat.

PGRS adalah parti tempatan yang ditubuhkan pada 2013 oleh Dr Ationg Tituh dengan Stephen Jimbangan sebagai Presiden pertamanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov hari mengundi awal.

Untuk berita terkini PRN Sabah, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php   

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan