
Oktober lalu, warga maya dikejutkan dengan kematian suami pempengaruh Farah Fakhira yang dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika bermain badminton pada waktu malam.
Kematian Zaidul Ariff pada 31 Okt itu menyusuli satu lagi insiden serupa kira-kira lima hari sebelumnya, melibatkan lelaki berusia 35 tahun yang juga rebah semasa bermain badminton pada waktu malam sebelum meninggal dunia, sekalipun pelbagai usaha dilakukan oleh rakan mangsa untuk menyelamatkan nyawanya.
Kedua-dua kes ini yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan luar biasa kerana sebelum ini juga acap kali masyarakat mendengar kematian individu semasa bersukan pada waktu malam, sekali gus mencetuskan “teori” dalam kalangan netizen bahaya bersukan waktu malam, kerana kata mereka waktu malam tubuh sedang bersedia untuk berehat, justeru tidak sesuai untuk beriadah.
Namun, benarkah begitu?
BUKAN PUNCA
Ketika diajukan persoalan itu oleh Bernama, pensyarah kanan di Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya Dr Mohd Naufal Yunos berkata bersenam waktu malam bukan punca seseorang itu mengalami serangan jantung yang membawa maut.
Sebaliknya kata beliau perkara itu bergantung pada tahap kesihatan seseorang seperti masalah jantung tidak disedari, darah tinggi dan obesiti.
“Kebiasaannya bersukan pada waktu malam hanya meningkatkan risiko kecederaan otot atau keletihan, bukan serangan jantung. Risiko sebenar serangan jantung lebih banyak berkait dengan keadaan kesihatan individu, terutamanya jika seseorang mempunyai penyakit jantung tidak disedari selain dia memang tidak cergas, jarang bersenam dan melakukan aktiviti intensif secara mengejut.
pic-4
"Dalam keadaan ini, sukan hanya menjadi pencetus kepada masalah jantung yang sudah ada. Oleh itu, bagi individu yang sihat, aktif dan bersenam secara bersesuaian termasuk pada waktu malam, sukan tidak menjadi punca kematian.”
Bagaimanapun beliau mengakui bersukan pada waktu malam mungkin memberikan cabaran yang berbeza kepada tubuh, kerana pada ketika itu badan dalam fasa bersedia untuk berehat dengan suhu badan lebih rendah, koordinasi berkurangan dan sistem saraf parasimpatetik lebih dominan.
"Pada lewat malam tubuh sedang bersedia untuk rehat, jadi aktiviti berat secara mengejut memberi beban tambahan kepada jantung. Apabila badan dalam mod rehat, peralihan mendadak kepada mod aktif boleh menjadi tekanan kepada sistem kardiovaskular. Rasa mengantuk, fokus menurun dan koordinasi kurang meningkatkan risiko kecederaan," katanya.
Namun tegasnya, faktor fisiologi seperti suhu badan lebih rendah atau koordinasi berkurangan hanya cabaran kecil dan umumnya tidak menyebabkan risiko jantung.
JANGAN SALAHKAN SUKAN
Membawa perhatian kepada tujuan bersukan, Mohd Naufal berkata kegiatan itu merujuk aktiviti fizikal yang terancang dan berstruktur, sama ada rekreasi atau kompetitif, yang menggabungkan pergerakan motor, peraturan (untuk sukan berkumpulan/kompetitif) bagi meningkatkan kecergasan fizikal, kemahiran motor dan kesejahteraan psikososial.
Jelasnya, manfaat bersukan terhadap individu juga bersifat holistik merangkumi aspek biologi, psikologi dan sosial.
“Dari sudut fisiologi, bersukan meningkatkan kecekapan kardiovaskular (jantung), kekuatan muskuloskeletal (otot dan tulang) dan metabolisme glukosa (mengurangkan risiko diabetes), sementara dari segi psikologi aktiviti sukan membantu merangsang rembesan hormon endorfin dan ‘brain-derived neurotrophic factor’ yang membantu mengurangkan stres dan risiko kemurungan," katanya.
pic-3
Justeru kata beliau, bersukan baik untuk kesihatan mental, mengurangkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit.
"Sukan, sama ada dilakukan pada waktu pagi, petang atau malam, secara umumnya selamat dan memberi manfaat besar kepada kesihatan,” tegas beliau.
Ditanya bilakah waktu terbaik untuk bersukan, Mohd Naufal berkata waktu pagi hingga awal petang merupakan waktu sangat baik untuk bersukan kerana tubuh berada dalam prestasi fisiologi yang kukuh dengan kekuatan otot, daya tahan dan fungsi sistem kardiovaskular berada pada tahap optimum.
"Jika sasaran seseorang itu adalah adaptasi metabolik (contohnya kawalan glukosa, lemak darah), latihan petang mungkin memberikan kelebihan tambahan. Walaupun begitu, tidak ada satu waktu ‘terbaik mutlak’ untuk semua orang.
“Faktor individu seperti rutin harian, jenis sukan dan waktu pertandingan atau latihan sangat penting. Secara praktikal, paling penting adalah konsistensi; pilih waktu yang kita boleh kekalkan secara konsisten sesuai dengan gaya hidup," katanya.
Berhubung jenis sukan tertentu yang lebih sesuai dilakukan pada waktu malam, pakar itu berkata secara umumnya tiada sukan mutlak yang hanya sesuai dilakukan pada waktu malam.
Namun, sesetengah aktiviti ringan sehingga sederhana seperti joging santai, jalan kaki, yoga, senamrobik atau berbasikal santai boleh dilakukan pada waktu malam dengan selesa kerana tidak memerlukan prestasi maksimum, selain membantu melepaskan tekanan harian serta meningkatkan kualiti tidur.
"Malam juga sesuai untuk aktiviti luar di kawasan panas kerana suhu lebih sejuk dan tahap kesesakan lebih rendah. Bagi sukan intensiti tinggi seperti futsal, badminton atau bola keranjang, ia boleh dilakukan malam jika individu sihat, aktif dan sudah terbiasa dengan jadual latihan malam kerana tubuh boleh menyesuaikan diri dengan ritma sirkadian.
"Secara keseluruhan pemilihan waktu sukan harus berdasarkan keselesaan, keselamatan dan konsistensi rutin individu," katanya.
SECARA BERKALA
Memperincikan kebaikan bersukan secara berkala mengikut waktu-waktu tertentu, Mohd Naufal berkata senaman pagi antara 8 hingga 11 pagi boleh meningkatkan kepekaan insulin membantu pembakaran lemak dan dikaitkan dengan risiko lebih rendah untuk menghidap penyakit jantung dan strok, khususnya wanita.
“Senaman petang pula antara 11 pagi hingga 5 petang selari dengan suhu badan dan kelenturan otot yang tinggi, meningkatkan prestasi senaman dan mengurangkan risiko kematian pramatang akibat penyakit jantung terutamanya bagi lelaki, warga tua dan mereka yang mempunyai masalah jantung sedia ada," katanya.
Beliau berkata senaman malam, iaitu antara 6 petang hingga awal malam boleh meningkatkan keanjalan saluran darah, mengurangkan tekanan pada jantung serta menurunkan tekanan darah hingga 24 jam.
"Bersenam waktu itu juga membolehkan latihan intensiti lebih tinggi kerana tenaga tersedia lebih banyak dan menyokong kesihatan kardiovaskular secara keseluruhan. Namun, pada akhirnya waktu terbaik untuk bersenam bergantung pada keselesaan dan konsistensi individu, kerana manfaat kesihatan akan diperoleh selagi aktiviti dilakukan secara tetap," jelasnya.
Secara kesimpulannya, Mohd Naufal berkata bersukan waktu malam boleh diamalkan secara selamat jika mengambil kira waktu, intensiti, jenis latihan dan keadaan fizikal individu.
"Bagi mereka yang mempunyai masalah jantung, tidur atau pencernaan, disyorkan mendapatkan nasihat pakar kesihatan sebelum memulakan rutin senaman malam," katanya, menasihatkan bahawa melakukan aktiviti fizikal penting untuk kesihatan tetapi perlu dilakukan secara bijak dan berterusan tanpa mengira waktu.
SERANGAN JANTUNG KETIKA BERSUKAN
Mengulas dari sudut perubatan, Pakar Perunding Perubatan Dalaman & Kardiologi Putra Medical Centre Alor Setar, Kol. (B) Dr Mohamad Anuar Mohamad berkata tidak ada halangan untuk bersukan di waktu malam, namun sebaiknya masyarakat melakukan saringan kesihatan jantung terlebih dahulu.
"Fungsi jantung yang sihat akan kekal sihat pada waktu malam, dan jantung yang tidak sihat berisiko lebih tinggi ketika waktu tersebut," jelasnya kepada Bernama.
Tambah beliau, bersukan melibatkan pergerakan fizikal yang berintensiti tinggi dan menggunakan banyak tenaga, dan tanpa persediaan fizikal yang cukup akan menyebabkan tubuh tidak mampu menampung ledakan adrenalin yang seterusnya mengakibatkan jantung berdegup dengan lebih laju.
pic-2
Keadaan sedemikian katanya menyebabkan risiko lebih tinggi bagi golongan tertentu.
Sekalipun insiden kematian ketika bersukan berlaku tidak mengira waktu termasuk melibatkan pemain bola sepak profesional ketika di atas padang, ramai yang percaya risiko meninggal dunia ketika bersenam waktu malam lebih tinggi.
Menyoroti perkara itu, Dr Mohamad Anuar berkata risiko kematian lebih tinggi pada waktu malam disebabkan oleh kesan buruk aktiviti lasak terhadap bentuk tidur dan gangguan sistem autonomi jantung pada jam terawal tidur waktu malam.
Tambahnya, keletihan pada waktu siang yang dibawa ke malam hari turut meningkatkan risiko kematian mengejut akibat masalah jantung.
"Selain itu, faktor gangguan sistem autonomi jantung yang dikenali 'circadian rhythm' (ritma sirkadian, iaitu kadar atau ritma degupan jantung) yang merupakan sistem aturan fisiologi jantung 24 jam meliputi kadar nadi, bentuk graf jantung serta tekanan darah, terganggu akibat aktiviti lasak pada ketika organ sepatutnya berehat.
“Secara asasnya manusia tidur dengan kadar yang berbeza, dan apabila diganggu dengan aktiviti fizikal lasak ia akan menyebabkan gangguan sistem ini," katanya.
Dr Mohamad Anuar berkata kumpulan berisiko tinggi tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti sukan pada waktu malam mengikut kategori penyakit jantung yang mereka hidapi, iaitu pertama mereka yang mengalami saluran jantung tersumbat (iskemia), obesiti, hipertensi, kencing manis dan paras kolesterol tinggi.
"Kedua, mereka yang menghidap penyakit struktur jantung seperti hypertrophic cardiomyopathy (HCM), aortic stenosis, lemah jantung (heart failure), ARVD (arrhythmogenic right ventricular dysplasia), manakala ketiganya adalah individu yang mempunyai gangguan sistem nadi iaitu atrial fibrillation, SVT (takikardia supraventrikular), cardiac arrhythmia dan atrial flutter," katanya.
Memetik kajian santifik pada 2022 bertajuk "Frontiers in Cardiovascular Medicine", beliau berkata kajian itu membuktikan bahawa aktiviti fizikal berlebihan di waktu malam meningkatkan risiko kematian berkait jantung berbanding menjalankan aktiviti lasak berlebihan di siang hari.
Dari segi perubatan, istilah sakit jantung bermaksud penyakit saluran jantung tersumbat (iskemia, struktur jantung serta gangguan sistem nadi yang kesemuanya boleh menyebabkan kematian mengejut (sudden cardiac death atau SCD).
Dr Mohamad Anuar berkata tanda-tanda dan gejala seseorang itu mempunyai sakit jantung juga bergantung pada jenisnya, iaitu apabila saluran jantung tersumbat atau iskemia, simptom yang terjadi adalah sakit dada di sebelah kiri dengan ciri-ciri menekan dan menusuk serta kebas ke sebelah tangan kiri serta rahang disertai peluh-peluh, rasa berdebar serta tidak bermaya.
"Bagi individu yang menghidap penyakit struktur jantung seperti kegagalan jantung, masalah injap serta otot, selalunya gejala yang ditunjukkan ialah mereka akan berasa cepat penat, tidak bermaya, sukar bernafas serta kadang-kadang berdebar-debar. Tanda bagi pesakit jantung akibat gangguan sistem nadi pula selalunya akan rasa berdebar-debar, pitam, pening serta tiba-tiba tidak sedarkan diri," katanya.
PEMILIHAN WAKTU
Ulas Dr Mohamad Anuar, dalam melakukan aktiviti sukan, waktu siang hari lebih bersesuaian kerana pada sebelah malamnya kebanyakan kita sudah letih dengan aktiviti harian. Bahkan menurut pakar itu, organ badan juga memerlukan masa untuk berehat di saat malam hari.
Beliau berkata walaupun seseorang itu hanya mempunyai masa untuk bersenam pada waktu malam, harus diingatkan bahawa gangguan ritma sirkadian pada waktu awal masa tidur merupakan punca tingginya risiko kematian.
pic-5
Dalam menjalankan kegiatan sukan di malam hari, beliau mengingatkan masyarakat agar memastikan pada sebelah siangnya mereka tidak sibuk di samping mempunyai rehat secukupnya.
"Dengan itu, tekanan darah, bacaan glukosa serta kadar nadi pastinya stabil dan individu tersebut pasti tidak berada dalam keadaan stres untuk bersenam pada waktu malam," katanya, menambah senaman berintensiti rendah ke sederhana lebih sesuai untuk dilakukan waktu malam.
Jelas Dr Mohamad Anuar seseorang juga boleh mengenal pasti tanda awal tekanan pada jantung ketika bersenam seperti berasa letih melampau.
"Sebaiknya, jika ingin bersenam di malam hari, pastikan waktu siang dapat rehat secukupnya bagi mendapatkan tekanan darah dan paras glukosa yang stabil. Selain itu, pentingnya pemilihan senaman intensiti sederhana, tidak terlalu lewat (malam) yang mengganggu sistem asal ‘circadian rhythm’," katanya, mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga kesihatan jantung dengan melakukan saringan berkala selain menjalani gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang serta mengelak stres.
